Kereta baru di US wajib pasang alat pengesan pemandu mabuk bermula 2026

oleh Mohamad Hanif|
Kongres Amerika Syarikat telah meluluskan bil infrastruktur bernilai $1 trilion yang turut merangkumi undang-undang baharu untuk dipatuhi pengeluar automotif.

Bermula tahun 2026, setiap pengeluar perlu memasang alat pemantauan pemandu mabuk dalam setiap kenderaan baharu.

Undang-undang itu menyatakan teknologi baharu itu perlu memantau keadaan pemandu secara pasif bagi mengesan sama ada pemandu dalam keadaan mabuk, dan mengehadkan operasi kenderaan sekiranya sistem dapat mengesan tanda-tanda tersebut.

Menurut laporan lagi, Jabatan Pengangkutan akan memutuskan teknologi yang bersesuaian untuk pemasangan di dalam kenderaan sebelum memberikan masa kepada pengeluar untuk mengikut apa yang telah ditetapkan.

Data daripada National Highway Traffic Safety Administration menjangkakan lebih daripada 20,000 pengguna jalan raya maut sepanjang separuh pertama tahun 2021, dan angka ini adalah yang tertinggi sejak tahun 2006.

Satu pertiga daripada kes pelanggaran trafik di Amerika Syarikat melibatkan pemandu mabuk, dan ia menambah lebih daripada 10,000 orang maut setiap tahun untuk tempoh antara 2010 hingga 2019 disebabkan kemalangan melibatkan pemanduan mabuk.

Sumber: Business Insider