Kereta api bertembung di India, sekurang-kurangnya lima maut, 30 cedera

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari CNN
Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh manakala 30 lagi cedera dalam kemalangan kereta api berhampiran stesen New Jalpaiguri, Bengal Barat, India pada Isnin.

Menurut laporan media tempatan, sebuah kereta api barang merempuh dua gerabak belakang Kanchanjungha Express hingga tergelincir dari landasan.

"Terkejut mendapat berita mengenai kemalangan kereta api tragis di kawasan Phansidewa di daerah Darjeeling," kata Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee.

Beliau berkata pegawai tempatan, doktor, ambulans dan pasukan bencana telah dikerah ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat dan bantuan perubatan.

"Operasi menyelamat sedang dijalankan dengan pantas. Pihak Keretapi, NDRF (Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan) dan SDRF (Pasukan Tindak Balas Bencana Negeri) sedang bekerjasama rapat.

"Mereka yang cedera dibawa ke hospital. Pegawai kanan telah tiba di lokasi," kata Menteri Keretapi Ashwini Vaishnaw dalam satu hantaran di media sosial.

 

Bernama