Kerangka luar VEX dari Hyundai - bantu kurangkan kepenatan, risiko kecederaan di kilang

oleh Mohamad Hanif|
Pekerjaan yang melibatkan banyak pergerakan seperti pekerja industri pemasangan kenderaan ternyata memerlukan satu postur badan yang baik bagi mengurangkan risiko kecederaan di tempat kerja.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Salah langkah atau pergerakan, ia akan memberikan kesan yang buruk kepada kesihatan, dan sekaligus mengganggu kelancaran barisan produksi sesebuah model kenderaan. 

Namun di Hyundai, mereka kini telah membangunkan sebuah kerangka luar (atau eksoskeleton) bagi mengurangkan kadar beban yang ditanggung, terutama bagi pekerjaan pemasangan di atas aras kepala. 
 


Dinamakan sebagai Vest EXoskeleton atau VEX, kerangka ini boleh dipakai seperti sebuah beg galas di belakang, dan mampu 'meniru' pergerakan sendi manusia bagi menampung beban sokongan dan mobiliti di tempat kerja. 

Ia hanya seberat 2.5 kilogram, 22-42 peratus lebih ringan berbanding produk sedia ada di pasaran. 

Pengeluar dari Korea Selatan itu mereka bentuk VEX yang dikhususkan kepada pekerja industri yang terlibat dalam pekerjaan melebihi aras kepala, seperti pemasangan bolt kenderaan, tiub brek, dan juga sistem ekzos.
 


Sambungan kepada kaki pula memberikan sokongan ketika pekerja sedang 'duduk', mengurangkan beban kepada otot belakang dan bahagian bawah badan sebanyak 40 peratus, dan sekaligus mengurangkan kepenatan dan meningkatkan lagi tahap efisien sesebuah barisan produksi. 

Sebuah program awalan telah pun dilancarkan di dua kilang Hyundai di Amerika Syarikat bagi melihat keberkesanan pemakaian VEX ini kepada aliran kerja seharian. 

Menurut Hyundai, harga VEX ini masih lagi belum ditetapkan namun ia bakal dijual 30 peratus lebih rendah berbanding produk sedia ada yang bernilai sehingga $5,000 (RM20,947).