Kerangka & Kotak Barangan Motosikal Yang Selamat Digunakan

oleh Mohamad Hanif|
Motosikal antara mod pengangkutan yang popular di Malaysia dek kerana harganya di dalam anggaran mampu milik dan juga kos penyelenggaraan yang berpatutan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Namun, ianya masih bergantung kepada jenis motosikal dan penyelenggaraan yang ingin dilakukan oleh pengguna.

Antara kekurangan yang terdapat pada motosikal ialah elemen mengangkut barangan disebabkan kapasiti yang minimum untuk membawa barang.

Secara amnya, dua kaedah tersedia semasa dibeli atau perlu ditambah sesudahnya – iaitu raga atau kotak barangan, atau kedua-duanya. Disebabkan kekurangan itu, ramai pengguna motosikal menambah kapasiti penyimpanan barang dengan memasang kotak barangan (box) pada motosikal mereka.

Kotak simpanan motosikal biasanya dipasang di bahagian atas belakang dan sisi  motosikal.

 


Bagi motosikal jenis “touring”, kotak simpanan merupakan “aksesori wajib” buat mereka. Namun, kini, hampir semua jenis pengguna motosikal akan memasang kotak simpanan termasuklah pengguna motosikal segmen asas seperti kapcai dan skuter.

Dengan adanya aksesori tambahan ini, ianya memudahkan untuk pengguna motosikal membawa muatan tambahan.

Bagi memasang kotak barangan ini, pengguna perlu menyediakan kerangka atau “rack” kotak tersebut. Kerangka ini adalah sebagai penyambung di antara badan motosikal dan kotak barangan. Harga bagi kerangka dan kotak simpanan adalah bergantung kepada jenama, jenis dan kualitinya.

 


Baru-baru ini, terdapat segelintir pengguna motosikal yang berkongsi di laman sosial bahawa kerangka tersebut patah dan menyebabkan kotak terjatuh ketika menunggang.

Situasi ini boleh mendatangkan ancaman kepada situasi trafik, terutamanya ketika keadaan sesak atau trafik berkelajuan tinggi. Antara maklumat yang diperolehi, pengguna membeli set kotak dan kerangka atau secara item berasingan di laman jualan atas talian. Isu utama yang dipersoalkan di sini adalah berkenaan kualiti binaan komponen ini terutamanya yang tidak mencapai kualiti ketahanan yang diperlukan.

Secara teknikalnya, penyambungan kerangka ke badan motosikal akan menyebabkan getaran (vibration) tetap akan ditanggung oleh komponen kerangka dan kotak motosikal ketika bergerak.

 


Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan “kegagalan” atau “failure” ini berlaku. Antaranya adalah disebabkan beban yang ditampung oleh kotak barangan melebihi had, kerangka yang tidak berkualiti kerana bahan yang digunakan dalam serta tidak melalui ujian ketahanan. Realitinya, komponen aksesori ini tidak mempunyai apa-apa peraturan atau standard yang perlu diikuti atau dipatuhi pada masa ini.

Maka, ianya hanyalah berdasarkan kepakaran sesuatu pengeluar dalam menghasilkannya.

Hasil daripada siasatan yang dilakukan oleh pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), kerangka yang digunakan oleh pengguna motosikal tersebut tidak mempunyai jenama atau logo produk, serta tidak dinyatakan had beban dan tidak mempunyai waranti.

Malah, kerangka tersebut seakan-akan menyerupai produk berjenama (imitasi), dan pernyataan bahawa ianya diperbuat daripada bahan tahan lasak tidak dapat disahkan.

 


Terdapat beberapa cara bagi memastikan bahawa kotak barangan dan kerangka adalah selamat.

Pertama, pengguna hendaklah cakna dan mematuhi had beban dan had laju yang telah ditetapkan oleh pengeluar. Kedua, pengguna perlu memastikan bahawa kerangka tersebut mempunyai banyak titik pemasangan untuk “memegang” kotak (minimum empat).

Seterusnya, menggunakan kerangka dan kotak barangan yang diperbuat daripada bahan yang berkualiti, mempunyai waranti atau jaminan, dan menggunakan produk yang asli dan diyakini keselamatan serta ketahanannya. Pengguna juga seharusnya memilih saiz kotak barangan dan kerangka yang sesuai untuk jenis motosikal yang digunakan.

Setiap kerangka dan kotak barangan yang berjenama dan asli mempunyai maklumat berkenaan produk dan ianya di dalam bentuk pelekat yang ditampal atau pengguna boleh rujuk kepada buku panduan yang telah disertakan semasa pembelian.

 


Ketahanan kerangka dan kotak barangan ini juga boleh dipengaruhi dengan kelajuan motosikal. Apabila motosikal bergerak laju, ianya akan menghasilkan banyak rintangan dan getaran kepada kerangka, seterusnya boleh menghasilkan rekahan.

Rekahan ini berpotensi akan berlaku kepada kerangka yang tidak asli atau kerangka yang tidak diuji ketahanannya.

Pengguna motosikal seharusnya bijak memilih aksesori tambahan dan seharusnya mengutamakan keselamatan serta jaminan produk berkenaan.

Menggunakan komponen yang asli, kebanyakkannya harga yang ditawarkan tinggi berbanding yang imitasi, namun ianya telah menjalani pengujian yang ketat serta mempunyai ketahanan dan jangka hayat yang lebih lama.Terdapat juga kerangka kotak barangan berjenama yang dijual di pasaran menawarkan harga yang berpatutan dan mampu milik. Produk yang berjenama juga mempunyai waranti jika terdapat sebarang kecacatan atau kerosakan pada produk mereka.

 


Pengguna motosikal yang memasang kerangka dan kotak barangan ini seharusnya mengetahui bahawa, ianya boleh mengakibatkan penunggangan berbuai jika menunggang pada kelajuan tinggi atau angin kuat.

Maka, pengguna disarankan untuk memilih saiz kotak simpanan yang sesuai mengikut kepada jenis motosikal yang digunakan.

Artikel oleh: Aizzat Syazwan Amir, Zulhaidi Mohd Jawi @ Said, Zarir Hafiz Zulkipli, Khairil Anwar Abu Kassim dari unit VRUM, MIROS.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Givi Asia telah melangsungkan sambutan ulangtahun ke 25 mereka di Genting Highlands minggu lalu dan…
Pelancaran
Pakar aksesori motosikal dunia, Givi hari ini melancarkan model terbaru untuk produk kotak simpanan…