Jemaah Menteri telah mengambil keputusan; mulai 1 Julai 2025, mana-mana kenderaan motor yang dikuasakan dengan bahan api NGV tidak lagi dibenarkan untuk didaftar atau dilesenkan untuk kegunaan di atas jalan raya di Malaysia.
Keputusan tersebut dibuat atas dasar keselamatan kepada pengguna dan orang ramai.
Selain itu, keputusan dibuat supaya PETRONAS menamatkan bekalan runcit NGV secara berperingkat di dalam pasaran Malaysia sebelum penamatan sepenuhnya juga mulai 1 Julai 2025.
Keputusan terbabit diambil berdasarkan kepada asas pertimbangan seperti berikut:-
Faktor keselamatan kepada pengguna terutamanya pemilik kenderaan yang dikuasakan dengan NGV.
Berdasarkan rekod, tempoh kemuncak bagi pengubahsuaian dan pemasangan kit kenderaan NGV adalah di antara tahun 1995 sehingga 2014.
Tempoh ini memberi indikasi bahawa keseluruhan kenderaan yang terlibat pada hari ini telah berada dalam fasa akhir hayat tangki NGV dan perlu diganti.
Tangki-tangki NGV ini mempunyai had tempoh penggunaan selamat dalam lingkungan 15 tahun, dan sekiranya tidak diganti, ianya tidak selamat digunakan dan boleh gagal berfungsi pada bila-bila masa sahaja yang boleh mendatangkan bahaya kecederaan, kematian dan kerosakan harta benda yang dahsyat.
Selain itu, terdapat segelintir pengguna yang telah melaksanakan ubah suai kenderaan dengan menggunakan silinder gas memasak (LPG) yang amat berbahaya dan telah mendatangkan risiko kemalangan dan letupan sebelum ini.
Silinder LPG hanya mempunyai tekanan sekitar 7 bar/100 psi berbanding tangki NGV yang mempunyai tekanan sehingga 220 bar/3,200 psi.
Penggantian menggunakan komponen-komponen tulen pula akan memakan kos yang tinggi, sehingga boleh melebihi RM7 ribu satu kenderaan.
Menyukarkan lagi keadaan, alat ganti NGV terutamanya tangki tulen sama ada sudah tiada lagi, atau amat sukar diperolehi di pasaran tempatan.
Dalam hal ini, melalui pemerhatian dan maklum balas yang diterima, terdapat pemilik kenderaan yang telah menggunakan alat ganti daripada tangki yang telah digunakan (used), atau pengubahsuaian tidak diiktiraf, termasuk menggunakan tangki gas LPG.
Semua perkara ini akan akhirnya mendatangkan risiko keselamatan, kecederaan atau kematian kepada semua pengguna atau pemilik kenderaan terbabit.
Susulan pengumuman ini, menteri turut maklumkan perincian Program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV bagi membantu peralihan pemilik kenderaan NGV kepada bahan api lain.
Pihak PETRONAS NGV Sdn Bhd (PNGV) telah mengambil inisiatif untuk menyediakan Program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV untuk kumpulan sasar yang terjejas, iaitu pemandu kenderaan teksi NGV, para pemilik kenderaan bahan api tunggal dan juga dwi bahan api NGV.
Program Bantuan Peralihan ini terdiri daripada tiga pakej iaitu:
1) Pakej bantuan peralihan kepada pemandu teksi NGV yang layak.
Bagi setiap pemandu berdaftar yang layak, bantuan dalam bentuk e-baucar sebanyak RM3,000 akan diberikan melalui aplikasi Setel secara one-off.
Syarat kelayakan utama adalah pemandu teksi NGV yang mempunyai Kad Pemandu dan Permit Kenderaan yang sah dengan APAD dan aktif untuk tempoh mulai 1 Januari 2024 sehingga 30 September 2024.
Namun, bagi mengelakkan perkara ini diambil kesempatan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab, individu yang mendaftar sebagai pemandu teksi NGV selepas 30 September 2024 tidak akan layak untuk menerima pakej ini.
Pemohon yang berjaya akan mendapat pakej bantuan secara one-off ini dalam tempoh 15 ke 30 hari bekerja.
2) Pakej menanggalkan kit NGV terutamanya tangki daripada kenderaan yang telah diubah suai (dwi-bahan api), termasuk teksi NGV.
Semua kos akan ditanggung sepenuhnya dan hanya boleh dilaksanakan di bengkel yang berdaftar sahaja;
Syarat kelayakan utama adalah kenderaan jenis dwi-bahan api yang didaftarkan dengan JPJ dan aktif untuk tempoh mulai 1 Oktober 2021 sehingga 30 September 2024.
3) Pakej bantuan peralihan bagi kenderaan bahan api tunggal NGV menawarkan pembayaran secara one-off kepada pemilik kenderaan yang layak, berdasarkan nilai semasa kenderaan yang akan ditentukan oleh wakil penilai bebas.
Syarat kelayakan utama adalah kenderaan jenis bahan api tunggal NGV yang didaftarkan dengan JPJ dan aktif untuk tempoh mulai 1 Oktober 2021 sehingga 30 September 2024.
Mana-mana pemilik kenderaan yang menerima tawaran ini, perlu menghantar kenderaan mereka ke Authorised Automotive Treatment Facility (AATF) berlesen untuk dilupuskan dan membatalkan pendaftaran kenderaan dengan pihak JPJ.
Ketetapan ini bagi mengelakkan salah guna dan ubah suai haram yang akan lebih membahayakan semua pihak kelak.
Pembayaran pakej bantuan ini akan dilakukan dalam tempoh 3 ke 7 hari bekerja selepas penyerahan Certificate of Destruction (COD) dan slip pembatalan pendaftaran kenderaan (borang K1d) dibuat oleh wakil AATF.
Kepada semua kumpulan sasar terlibat, permohonan bagi menyemak Kelayakan dan mendapatkan pakej peralihan akan dibuka mulai tarikh pengumuman ini.
Permohonan hendaklah dikemukakan melalui laman web www.peralihanngv.com.
Bagi membolehkan proses penilaian, semakan, penyaluran dan pelaksanaan pakej dilaksanakan secara teratur, tarikh-tarikh tutup bagi setiap permohonan adalah ditetapkan seperti di bawah:-
1)Permohonan Pakej Bantuan Peralihan One-off kepada Pemandu Teksi NGV - (Tarikh tutup : 31 Disember 2024)
2)Pakej Bantuan Peralihan bagi Kenderaan Dwi-bahan Api NGV - (Tarikh tutup : 30 April 2025)
3)Pakej Bantuan Peralihan bagi Kenderaan Bahan Api Tunggal NGV - (Tarikh tutup : 31 Disember 2024)
Sekiranya tarikh-tarikh tutup permohonan tidak dipatuhi, kumpulan sasaran yang terkesan tidak akan dapat menerima pakej bantuan peralihan ini.
Mulai 1 Julai 2025, semua maklumat pendaftaran kenderaan dwi-bahan api akan dipinda secara automatik kepada menggunakan bahan api petrol sahaja, bagi mengelakkan ketirisan hasil kepada Kerajaan dan supaya pemilik kenderaan terbabit dikenakan bayaran fi LKM mengikut kadar ditetapkan kepada suatu kelas kenderaan dikuasakan petrol sepenuhnya.
Bekalan runcit NGV di seluruh negara juga akan ditamatkan secara berperingkat mulai 1 Oktober 2024 dan menjelang suku tahun kedua 2025, tiada lagi sebarang bekalan runcit NGV akan ada di dalam pasaran Malaysia.
Maklumat lanjut mengenai ketiga-tiga pakej ini boleh diperolehi dalam laman sesawang www.peralihanngv.com.
Semakan kelayakan, permohonan dan status permohonan juga boleh dibuat melalui laman sesawang tersebut mulai hari ini.
Sebarang pertanyaan lanjut, semua pihak boleh mendapatkan maklumat daripada laman web terbabit atau menghubungi pusat khidmat pelanggan seperti di bawah:
KHIDMAT PELANGGAN : MESRALINK
1 800 88 8181 atau [email protected]