Perdana Menteri menjelaskan bahawa langkah ini akan dilaksanakan selepas penggubalan Akta Kredit Pengguna, sebagai sebahagian daripada agenda reformasi undang-undang yang lebih luas di bawah Pasukan Reformasi Undang-undang yang ditubuhkan kerajaan.
“Setelah penggubalan Akta Kredit Pengguna, Kerajaan akan meminda Akta Perlindungan Pengguna untuk memasukkan elemen Lemon Law bagi melindungi hak pengguna yang sering tertindas,” katanya dalam ucapan tersebut.

Lemon Law, yang telah diamalkan di beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura, berfungsi sebagai perlindungan undang-undang kepada pengguna yang membeli barangan, terutamanya kenderaan baharu, tetapi kemudian mendapati ia mengalami kecacatan serius yang berulang walaupun telah dibaiki beberapa kali oleh pengeluar atau pengedar.
Melalui undang-undang ini, pengguna akan berhak menuntut penggantian produk baharu atau bayaran balik penuhsekiranya produk tersebut gagal memenuhi standard yang dijanjikan, sekaligus mewujudkan akauntabiliti lebih tinggi dalam industri automotif dan barangan pengguna.
Langkah ini dilihat sebagai satu pembaharuan penting dalam usaha kerajaan memastikan keseimbangan antara kepentingan pengguna dan tanggungjawab pengeluar, di samping meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem perlindungan pengguna negara.
Dengan pengenalan Lemon Law ini, Malaysia bakal menyertai kelompok negara yang memberikan jaminan undang-undang lebih kukuh kepada pengguna, terutama dalam sektor automotif yang kerap menjadi tumpuan aduan berkaitan kualiti produk.

(Sumber: Ucapan Belanjawan MADANI Keempat, Tahun 2026 oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim)