Kerajaan TIDAK batal harga siling petrol, diesel

oleh Mohamad Hanif|
Kerajaan tidak membatalkan perintah harga siling bagi minyak petrol dan diesel seperti yang dilaporkan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Justeru, beliau berharap orang ramai tidak membuat kenyataan mengelirukan mengenai perkara itu yang hanya akan menimbulkan salah faham.

“Tidak, tidak … jangan salah faham. Kami tidak menarik balik harga siling itu, dasar itu masih sama,” katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di kedai gunting rambut, salun rambut dan salun kecantikan di pusat beli-belah di sini, susulan keputusan kerajaan membenarkan sektor itu beroperasi semula, bermula hari ini.

Nanta berkata demikian bagi mengulas laporan media hari ini yang menyatakan kerajaan Persekutuan sudah membatalkan perintah harga siling bagi minyak petrol dan diesel melalui Warta Kerajaan bertarikh 3 Jun lepas.

Berdasarkan Warta Kerajaan itu, Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) (No 8) (Pembatalan) 2020, mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dibuat Pengawal Harga Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad pada 10 April lepas dengan kelulusan Nanta.

Dalam pada itu, Nanta dalam kenyataan media selepas itu berkata penetapan harga runcit petrol dan diesel adalah melalui mekanisme harga automatik  (APM) yang dipengaruhi oleh harga minyak yang diproses selari dengan harga minyak mentah dunia.

“Sejak 30 Mac 2017, harga jualan runcit petrol dan diesel ditetapkan secara mingguan dan dikuatkuasakan oleh KPDNHEP melalui warta di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Tujuan pewartaan adalah untuk menguatkuasakan kawalan harga jualan runcit petrol dan diesel oleh syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak agar tidak melebihi harga yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata mulai 29 Feb lepas, KPDNHEP menukar mekanisme penguatkuasaan kawalan harga jualan runcit petrol dan diesel melalui Surat Arahan Pengawal Bekalan di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Perubahan mekanisme itu bertujuan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan pemantauan di peringkat KPDNHEP sekiranya terdapat sebarang pelanggaran arahan di bawah akta yang berkuat kuasa.

Sementara itu, pada sidang media selepas tinjauan tersebut,  beliau turut memaklumkan KPDNHEP akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu sindiket penyelewengan kuota pembekalan minyak masak bersubsidi.

Katanya tidak timbul isu tiada pemantauan menyebabkan berlakunya perkara itu namun tidak menolak terdapat individu tidak bertanggungjawab melakukan perkara tersebut.

Terdahulu hari ini media melaporkan SPRM menahan empat pengarah syarikat disyaki terbabit dalam sindiket penyelewengan kuota pembekalan minyak masak bersubsidi daripada KPDNHEP.

Sumber: BERNAMA

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Selain itu, katanya, ia tidak memberi motivasi syarikat penerbangan yang mungkin mengambil langkah…
Berita Domestik
Kementerian Kewangan (MoF) dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Dewan Rakyat…
Berita Domestik
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan pada Rabu, paras harga siling yang ditetapkan itu lebih…