Kerajaan Thailand umum insentif berbentuk subsidi, pengecualian cukai galakkan penggunaan EV

oleh Mohamad Hanif|
sumber gambar: Nikkei Asia
Kerajaan kabinet Thailand pada hari Selasa yang lalu telah meluluskan pakej insentif kewangan bagi mempromosikan industri kenderaan elektrik (EV) dan mengurangkan emisi karbon monoksida.

Menurut laporan Bangkok Post, Menteri Kewangan Arkhom Termpittayapaisith mengumumkan pengurangan kadar duti eksais dan pengecualian duti kastam bagi kenderaan elektrik bateri (BEV) import sepenuhnya (CBU).

Di bawah langkah tersebut, mana-mana BEV unit CBU dengan harga jualan sehingga 2 juta Baht (RM257,755) berhak untuk mendapat duti import yang lebih rendah, iaitu 40 peratus berbanding 80 peratus seperti yang dilaksanakan sebelum ini.

Sementara BEV dengan harga jualan antara 2-7 juta Baht (RM255,755-RM902,143) akan dikenakan duti import sebanyak 60 peratus berbanding 80 peratus sebelum ini.

Kerajaan juga turut mengurangkan duti eksais kepada 2 peratus berbanding 8 peratus yang dikenakan untuk BEV.

Menurut Arkhom, langkah ini mungkin akan menjejaskan pendapatan negara, namun ia bakal diimbangkan kembali setelah pengeluar EV mula membangunkan kilang pemasangan dan menggaji pekerja untuk memulakan proses pemasangan tempatan.
 

Thailand


Selain itu, kerajaan Thailand turut mengumumkan insentif subsidi bernilai antara 70,000 Baht-150,000 Baht (RM9,021-RM19,331) bergantung kepada jenis dan model kenderaan untuk tempoh 2022-2023.

Perinciannya adalah seperti berikut:

  • Subsidi 70,000 Baht (RM9,021) untuk kereta penumpang dengan bateri 10-30 kWh
  • Subsidi 150,000 Baht (RM19,331) untuk kereta penumpang dengan kapasiti bateri lebih 30 kWh untuk model CKD dan CBU
  • Subsidi 150,000 Baht (RM19,331) untuk trak pikap CKD dengan saiz bateri lebih 30 kWh
  • Subsidi 18,000 Baht (RM2,320) untuk motosikal elektrik berharga sehingga 150,000 Baht (RM19,331), CKD dan CBU

Dari sudut pengeluaran pula, kerajaan Thailand mengumumkan pengecualian duti import ke atas beberapa komponen EV seperti bateri, motor elektrik, pemampat untuk bateri EV, sistem pengurusan bateri, unit kawalan pacuan serta gear pengurangan untuk tempoh 2022-2025.

Minggu lalu, kabinet telah meluluskan bajet sehingga 3 bilion Baht (RM387 juta) untuk membiayai program subsidi yang dirancang.

Langkah yang diumumkan ini bertujuan untuk menjadikan Thailand sebagai salah satu hab global untuk produksi komponen dan EV, selain menyasarkan pengeluaran EV domestik sekurang-kurangnya lima peratus daripada jumlah pengeluaran domestik pada tahun 2030.

Sumber: Bangkok Post 1, 2

Berita Berkenaan

Berita Global
  Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr. Taweesin Visanuyothin berkata pengembara…
Berita Global
Projek Horizon Plus Co merupakan salah satu daripada permohonan pelaburan berjumlah 209.5 bilion…
Berita Domestik
Perkara itu dimaklumkan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff selepas satu…