Kerajaan teliti undang-undang ketat bendung kecurian kabel kereta api

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Kerajaan sedang meneliti langkah memperketatkan undang-undang serta memperkukuh penggunaan teknologi pemantauan bagi menangani kes kecurian kabel landasan kereta api yang semakin berleluasa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkara itu turut dibincangkan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memperketatkan tindakan undang-undang terhadap kes berkenaan yang disifatkan sebagai isu keselamatan nasional.

Katanya, jenayah kecurian kabel tidak boleh dianggap sebagai kes kecurian biasa kerana ia memberi kesan langsung kepada kelancaran perkhidmatan kereta api serta keselamatan orang ramai.

"Kementerian Pengangkutan bersama (KTMB) Keretapi Tanah Melayu Berhad dan RAC (Perbadanan Aset Keretapi) sedang meneliti penggunaan teknologi pemantauan yang lebih berkesan bagi mengesan serta mencegah kegiatan itu daripada terus berulang.

"Langkah pertama yang kita lihat ialah dari segi teknologi, bagaimana kita boleh memasang sistem pemantauan yang lebih baik dan berkesan di kawasan landasan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin atau Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP), di Padang Besar pada Sabtu.

Sebelum ini media melaporkan, kecurian kabel landasan KTMB menggugat keselamatan ribuan penumpang yang menggunakan perkhidmatan itu untuk pelbagai tujuan termasuk berulang-alik ke tempat kerja.

Presiden Institut Piagam Pengangkutan dan Logistik Malaysia (CILTM), Prof Dr Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein dilaporkan berkata, pada tahun lalu, sebanyak 104 kes kecurian kabel berlaku di seluruh negara menyebabkan lebih 1,300 jam kelewatan kumulatif di seluruh rangkaian KTMB,.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, antara cabaran utama dalam menangani isu itu ialah harga tembaga yang tinggi selain jaringan landasan kereta api negara yang panjang sehingga melebihi 1,000 kilometer.

"Memang sukar untuk memantau setiap kilometer landasan terutama di kawasan terpencil yang mudah diakses pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Katanya, kementerian turut meneliti pendekatan dan penyelesaian yang digunakan di negara lain memandangkan isu sama turut berlaku di banyak negara yang mempunyai sistem rel.

"Ini bukan masalah di Malaysia sahaja, tetapi berlaku di seluruh dunia. Ada negara yang sudah pun mempunyai kaedah lebih baik untuk menanganinya," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan susulan insiden kejadian tren LRT tergelincir daripada landasannya berdekatan Stesen Chan Sow Lin baru-baru ini.

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata bagi sabitan kesalahan kecurian atau khianat, pihak pendakwaan perlu membuktikan…
Berita Domestik
"Mereka yang terlibat dalam kes ini hanya menyasarkan kabel overhead dan ground serta kotak…
Berita Domestik
"Saya telah menghadiri satu mesyuarat bersama Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, bagi…