Kerajaan teliti cadangan bina LRT di Johor Bahru

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari TV3
Kerajaan sedang menimbang cadangan pembinaan jajaran pengangkutan sistem transit aliran ringan (LRT) bagi menyelaras sistem pengangkutan lebih baik di Johor Bahru.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sebuah syarikat swasta telah mengutarakan cadangan bagi membina LRT berkenaan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

"Kita akan pertimbangkan semua cadangan termasuk daripada pihak swasta. Sebuah syarikat swasta, baru-baru ini telah menyatakan minat untuk membina LRT di Johor Bahru, tetapi ia masih di peringkat cadangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan pas tanpa had MyBAS dan bas awam elektrik pertama Johor di Terminal Pengangkutan Awam Larkin pada Selasa.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 pada tahun lalu, Mohamad Fazli memberitahu Johor berhasrat membangunkan sistem pengangkutan LRT di Johor Bahru bagi mengatasi kesesakan lalu lintas.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, Anthony berkata, kementeriannya telah meminta Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) memastikan projek berkenaan dilaksanakan mengikut jadual.

"Perkembangan projek RTS Link Johor Bahru-Singapura berjalan lancar. Walaupun terdapat sedikit kelewatan, namun pihak MRT Corp sedang membetulkan masalah tersebut.

"Saya telah memberi arahan dari masa ke masa agar projek bilateral antara dua negara ini dapat disiapkan pada penghujung 2026 dan seterusnya beroperasi pada 2027," katanya.

Jumaat lalu, Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran dilaporkan berkata, pembinaan projek RTS Link Johor Bahru-Singapura di Republik itu sudah mencapai tahap 45 peratus.

Beliau berkata, perkembangan projek itu berada di landasan yang betul untuk mencapai matlamat penyiapan bagi membolehkan perkhidmatan awam itu beroperasi pada penghujung 2026.

 

 

Astro Awani