Kerajaan susun pelan tindakan, pastikan sektor automotif negara lebih berdaya saing

oleh Mohamad Hanif|
Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan sedang menyusun semula pelan tindakan dalam melaksanakan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 bertujuan untuk menjadikan sektor automotif lebih berdaya saing dan maju, menurut laporan daripada Berita Harian.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Langkah ini akan dapat membantu menyegerakan pemulihan sektor automotif negara melalui galakan pelaburan dalam segmen kenderaan berteknologi tinggi dan mesra alam sekitar.

"Ia turut merangkumi pembangunan tenaga mahir tempatan, peningkatan aktiviti pembuatan bernilai tinggi, terutama bagi produk pasaran lepas jualan dan mengaplikasikan teknologi termaju dalam rantaian bekalan automotif," katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ong Kian Ming (PH-Bangi) mengenai anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk sektor automotif pada tahun ini, selain langkah yang akan diambil kerajaan untuk memberikan bantuan dan insentif bersasar kepada industri.

Menerusi perangkaan dikeluarkan Persatuan Pemasangan dan Pengedaran Skuter, Motosikal Malaysia (MASAAM), Mohamed Azmin berkata tiada sebarang transaksi jualan motosikal direkodkan pada April lalu.

Bagaimanapun, katanya, penjualan motosikal kembali mencatatkan transaksi , masing-masing sebanyak 19,507 unit pada Mei dan 42,190 unit pada bulan lalu.

Sumber: Berita Harian