Kerajaan Sasar Veteran Tentera Jadi Pemandu Lori Kontena, Atasi Krisis Driver di Port Klang

oleh Qalif Latif|
Kerajaan bercadang untuk merekrut pesara tentera bagi mengisi kekosongan sebagai pemandu lori haulage dalam sektor logistik pelabuhan, khususnya di Pelabuhan Klang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah ini bertujuan menangani kekurangan tenaga kerja dalam industri logistik yang semakin kritikal ketika ini.

Menurut beliau, inisiatif tersebut akan memadankan ribuan veteran Angkatan Tentera Malaysia dengan peluang pekerjaan dalam sektor pelabuhan dan logistik.

Mereka ini golongan yang tahan lasak, berdisiplin, dan mampu bekerja keras. Ini antara sebab kenapa mereka sesuai untuk industri ini,” katanya.

Pelabuhan Klang

 

Tambah beliau lagi, pihak kerajaan berharap syarikat logistik akan memberi peluang kepada golongan veteran ini, dan bukan sekadar menyatakan kekurangan pemandu tanpa tindakan lanjut.

Fokus baharu, bukan lagi ke industri teksi

Anthony Loke turut menjelaskan bahawa pendekatan ini menggantikan dasar lama, di mana pesara tentera sebelum ini lebih digalakkan untuk menceburi bidang teksi.

Namun, keadaan industri teksi kini berbeza, dengan kos sara hidup yang tinggi menjadikan kerjaya tersebut kurang menarik.

Dulu kita beri permit teksi, tetapi industri itu kini sudah berubah dan ramai tidak berminat kerana sukar menampung kos hidup,” jelasnya.

Sebaliknya, kerajaan kini mahu memfokuskan kepada sektor logistik yang mempunyai permintaan tinggi terhadap tenaga kerja.

Program PATH dan lesen Kelas E

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada program Professional Advancement in Trucking and Haulage (PATH) yang dilancarkan pada Mac 2025 melalui kerjasama pelbagai kementerian dan agensi.

Di bawah program ini, peserta akan menjalani latihan berstruktur bagi mendapatkan:

  • Lesen kenderaan berat Kelas E

  • Goods Driving Licence (GDL)

Kedua-dua lesen ini diperlukan untuk mengendalikan lori kontena di pelabuhan.

Bagi veteran yang sudah mempunyai pengalaman memandu kenderaan berat dalam tentera, mereka hanya perlu menjalani proses latihan semula (retraining) dan pensijilan bagi menukar kelayakan sedia ada kepada lesen awam.

Pelabuhan Klang

 

Permudah proses, tambah peluang kerja

Kerajaan juga sedang berusaha untuk memudahkan proses mendapatkan lesen kenderaan berat, termasuk mempercepatkan prosedur permohonan lesen Kelas E dan GDL.

Langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan kekurangan pemandu haulage, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Jika perlu latihan tambahan, kita akan sediakan. Tetapi buat masa ini, kita mahu mudahkan proses mendapatkan lesen supaya lebih ramai boleh masuk ke sektor ini,” kata Loke.

Sokong pertumbuhan Pelabuhan Klang

Inisiatif ini turut dilihat penting dalam menyokong pertumbuhan operasi Pelabuhan Klang yang mencatatkan jumlah pengendalian kontena sebanyak 15.14 juta TEU pada tahun 2025.

Dengan peningkatan jumlah kargo, keperluan terhadap pemandu haulage dijangka terus meningkat, menjadikan langkah ini sebagai satu solusi strategik jangka panjang untuk industri logistik negara.

Sumber: MalayMail