Kerajaan Russia tawar akses tol percuma untuk pemilik EV

oleh Mohamad Hanif|
Kerajaan Russia akan mula menawarkan akses tol secara percuma kepada pemilik kenderaan elektrik sebagai sebahagian daripada perancangan untuk menggalakkan pemilikan EV.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut laporan daripada The Moscow Times, kenderaan elektrik pada ketika ini merangkumi 0.05 peratus daripada jumlah kenderaan yang dijual di Russia, di mana kerajaan mensasarkan 25,000 EV dijual setiap tahun menjelang tahun 2024, dan merangkumi 10 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan menjelang 2030.

Daripada 1,553,700 km jaringan jalan raya yang terdapat di Russia, 1,950 km daripadanya merupakan lebuh raya bertol.

Selain daripada pengecualian bayaran tol, kerajaan Russia juga turut menawarkan inisiatif seperti pinjaman dan pajakan bersubsidi, selain menawarkan subsidi kepada pengeluar untuk membina kilang memasang kenderaan elektrik dan juga bateri.

Menjelang tahun 2030, Russia bakal melabur sebanyak $10.5 bilion (RM43.67 bilion) untuk menggalakkan pembelian EV dan kereta hidrogen, selain mahu membangunkan kira-kira 9,000 stesen pengecasan EV menjelang 2024 dan 72,000 stesen menjelang 2030.

Malah, lebih 1,000 stesen pengisian bahan api hidrogen akan mula beroperasi menjelang 2030.

Setakat ini, pelaburan Russia di dalam EV hanyalah tertumpu kepada pengangkutan awam, di mana 0.6 peratus daripada bas kini menggunakan kuasa elektrik.

Di Moscow sahaja, terdapat sebanyak 5.5 peratus bas elektrik yang beroperasi, di mana angka tersebut kini menghampiri purata 6.1 peratus yang dicapai oleh Kesatuan Eropah.

Sumber: The Moscow Times