Kerajaan Perancis lancar dana RM38 billion bantu industri automotif

oleh Mohamad Hanif|
Kerajaan Perancis telah memperuntukkan dana kira-kira €8 billion (RM38 billion) bagi membantu industri automotif negara tersebut bangkit kesan daripada wabak COVID-19 yang melanda dunia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sebahagian daripada dana tersebut akan disalurkan kepada program menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik, termasuklah penawaran geran sehingga €7,000 (RM34 ribu).

Ini kerana kerajaan yang dipimpin oleh Presiden Emmanuel Macron komited bagi memastikan Perancis menjadi pendahulu di dalam pembangunan EV, dengan perancangan untuk menghasilkan sejuta kenderaan bersih secara domestik menjelang 2025.

Malah, dalam satu lawatan ke kilang Valeo terletak di utara Perancis, Macron turut menyatakan untuk menempatkan semula produksi automotif secara domestik melibatkan Renault dan PSA Group selaku pendahulu pengeluaran kenderaan di negara tersebut.

Selain memfokuskan kembali kepada produksi di Perancis, Macron mengesahkan kedua-dua syarikat tersebut akan bekerjasama dengan pembekal sumber tenaga Total bagi membangunkan bateri untuk kenderaan elektrik.

 


"Kita mahukan satu hala tuju: menjadikan Perancis sebagai lokasi teratas dalam menghasilkan kenderaan mesra alam dengan sasaran produksi 1 juta kenderaan elektrik dan hibrid setahun untuk tempoh lima tahun," ujar Macron seperti yang dipetik oleh BBC News.

Selain daripada itu, salah satu insentif yang diberikan kepada pelanggan adalah subsidi bernilai €3000 (RM14,367) bagi mereka yang beralih daripada kenderaan yang lebih mesra alam, dan diharap bakal membantu penjualan kira-kira 400,000 kenderaan yang tersadai di pusat pengedar semenjak permulaan pandemik COVID-19.

Menerusi pengumuman terbaharu ini, setiap EV yang dijual dengan harga bawah €45,000 (RM215,500) layak mendapat geran €7,000 (RM33,522).

Manakala pembeli kenderaan plug-in hybrid pula boleh menuntut subsidi bernilai €2,000 (RM9,578) dengan syarat model tersebut mampu beroperasi sejauh sekurang-kurangnya 50 kilometer menggunakan tenaga elektrik semata-mata dan bernilai kurang dari €50,000 (RM239,445).

 


Insentif EV yang dikemaskini ini akan berkuatkuasa bermula 1 Jun ini sehingga 31 Disember nanti dan layak kepada 75 peratus isi rumah Perancis berikutan kelonggaran syarat pendapatan.

Industri automotif Perancis antara yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 di mana jualan kenderaan baharu menjunam 89 peratus pada bulan April disebabkan penutupan pusat pameran dan perintah kawalan pergerakan.

Terdahulu, menteri kewangan Perancis memberikan amaran jenama nasional negara tersebut Renault bakal lenyap sekiranya tidak diberikan bantuan demi kelangsungan perniagaan, malah terdapat khabar penutupan beberapa kilang serta pemberhentian kira-kira 5,000 orang pekerja menjelang tahun 2024.

Berita Berkenaan

Berita Global
Dan, setelah beberapa tahun, akhirnya kerajaan Perancis akui yang idea ini memang tidak boleh…