Kerajaan kaji bina pelabuhan di Sanglang, daerah Kubang Pasu

oleh SALINA JALIL|
Kerajaan sedang mengkaji pembinaan sebuah pelabuhan agregat di Sanglang, daerah Kubang Pasu bagi mengendalikan kargo petroleum dan kargo pukal yang akan memberi nilai tambah kepada ekonomi Kedah.


Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata projek itu juga akan mewujudkan laluan penghubung jambatan darat di antara selatan Thailand dan Malaysia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

"Sekiranya menjadi realiti, projek ini akan memberikan nilai tambah kepada ekonomi Kedah termasuk meningkatkan keyakinan pelabur menanam modal di negeri ini dan wilayah utara amnya," katanya ketika merasmikan projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting, di Yan, hari ini (Khamis).

 

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan beberapa menteri Kabinet.

 

Terdahulu, Muhammad Sanusi dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri bersedia untuk menerima cadangan Kumpulan Albukhary bagi memajukan sebuah lagi Pelabuhan Laut Dalam di Sanglang, di Kubang Pasu yang bersempadan dengan Perlis.

 

Beliau berkata, cadangan itu amat strategik dan bakal menjadi projek ikonik yang akan memberi impak besar kepada ekonomi negara.

 

"Pelabuhan ini akan membolehkan sebuah jambatan darat di antara Sanglang dengan pantai timur Songkla diwujudkan bagi menyingkatkan jarak dan masa perjalanan antara Selat Melaka (di Timur) dengan Teluk Siam atau Gulf of Thailand (di Barat).

 

"Bagi pihak kerajaan negeri, kami amat mengharapkan sokongan dan kerjasama penuh Kerajaan Persekutuan untuk merealisasikan cadangan ini sepenuhnya," katanya.

 

Muhammad Sanusi berkata, melihat prospek perkembangan yang akan berlaku di Kedah, khususnya di Pulau Bunting dan cadangan Pelabuhan Laut Dalam di Sanglang, kerajaan negeri memohon perhatian khusus daripada Perdana Menteri untuk Kerajaan Persekutuan meluluskan penubuhan Lembaga Pelabuhan Kedah sebagai pihak berkuasa yang akan bertanggungjawab ke atas operasi pelabuhan di negeri ini.

 

Katanya, daerah Yan khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau adalah kawasan yang pernah diwakili oleh guru politik beliau iaitu Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak dan idea pembangunan Pulau Bunting itu dicetuskan oleh Almarhum sendiri sewaktu beliau menjadi Menteri Besar Kedah.

 

 

 

Berita Harian