Kenderaan ubah suai pelajar Nissan Automobile Technical College, ada Skyline dan Elgrand kepala X-Trail!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Adonis Skyline
Adonis Skyline
Projek ubah suai kenderaan pelajar memang menyeronokkan kerana kreativiti mereka yang kadangkala tidak terjangkau dek fikiran.

Mereka tidak terhalang secara ketat tentang penyelidikan pasaran, undang-undang dan kehendak pengguna. Cuma yang menjadi kekangan ialah kewangan dan perkakasan. 

Di antara contoh ubah suai menarik ditunjukkan oleh pelajar Kolej Teknikal Automobil Nissan (Nissan Automobile Technical College).

Bukan projek biasa, kenderaan itu akan dipamerkan pada Tokyo Auto Salon (TAS) 2024.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Seto 03

 

Kolej Teknikal Automobil Nissan mempunyai lima kampus di Jepun.

Selain kursus di dalam penyelenggaraan kereta, kolej itu juga menawarkan kursus kejuruteraan automotif di dalam sukan permotoran dan badan kereta.

Tiga model yang dibawa ke TAS 2024 adalah hasil kerja pelajar di kampus Kyoto dan Aichi yang menawarkan kursus badan kereta.

Berikut disenaraikan tiga model tersebut:

 

Elgrand Glassier

 

Elgrand Glassier – Kolej Teknikal Automobil Nissan Kyoto

Projek ini dibuat oleh pelajar tahun empat Kursus Mekanik dan Ubah Suai dan mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.

Idea di sebalik projek ini luar biasa kerana bahagian depan X-Trail dipakaikan kepada Elgrand.

Berdasarkan konsep 'bringing people together', Elgrand ini dibangunkan mengikut gambaran enam ahli keluarga yang rapat menaiki kereta bersama.

 

Elgrand Glassier

 

Para pelajar mahu ahli keluarga menikmati aktiviti perkhemahan secara bersama dan merapatkan lagi hubungan dengan senyuman dan gelak ketawa berpanjangan.

Jarak kelegaan bumi dinaikkan sebanyak empat sentimeter supaya dapat dipandu di laluan mencabar.

Khemah saiz besar dipasang di atas bumbung untuk ahli keluarga meluangkan masa dengan selamat dan selesa.

Kacukan bahagian depan X-Trail dan tayar berketul menonjolkan lagak off-road dan bahagian belakang dipasang lampu melintang.

Warna badan unik dibuat sendiri oleh pelajar untuk menonjolkan cahaya awal pagi. Warna oren pada beberapa perkakasan melambangkan sinaran matahari pagi

Seto – Kolej Teknikal Automobil Nissan Kyoto

 

Seto

 

Projek ini juga hasil kerja pelajar tahun empat Kursus Mekanik dan Ubah Suai dan enam bulan untuk disiapkan.

Dibuat berdasarkan konsep 'a bridge between past and present', para pelajar berjaya menghasilkan sebuah Pike Car yang unik.

Pike Car adalah barisan model Nissan yang comel dan pertama kali diperkenal pada 1985.

Seto dibayangkan sebagai sebuah kereta yang digunakan oleh anak perempuan atau adik perempuan keluarga yang memiliki Elgrand Glassier.

 

Seto

 

Seto digunakan untuk berkunjung ke kafe atau bersiar-siar di bandar. Nissan Cube sebagai kereta asal dipasang perkakasan depan dan lampu belakang Bluebird.

Bagi menyambung dapra dan tukup dua model berbeza dengan kemas, para pelajar menggunakan kimpalan dan dempul (putty).

Mentol halogen diganti dengan LED bagi menonjolkan sisi moden. Khemah bumbung dipasang untuk pengembaraan spontan bersama kawan-kawan.

Badan kereta dilayangkan warna navy lembut dan imej retro diserlahkan lagi dengan rim pisang (banana).

Adonis Skyline – Kolej Teknikal Automobil Nissan Aichi

 

Adonis Skyline

 

Adonis di dalam bahasa Melayu bermaksud pemuda tampan dan Skyline ini mengambil masa 2.5 bulan untuk disiapkan.

Pelajar Kursus Mekanik dan Badan Kereta tahun tiga menggambarkannya sebagai kenderaan seperti adonis yang membuatkan ramai orang sukakannya.

Adonis Skyline dibangunkan berdasarkan situasi seorang lelaki muda dengan pendapatan yang bagus dan mempunyai kehidupan peribadi aktif.

Ciri itu menjadi sasaran demografi yang biasanya akan menggunakan kereta sebegini. Garisan badan Skyline dikekalkan dengan badan dilebarkan sebanyak lima sentimeter.

 

Adonis Skyline

 

Para pelajar menghabiskan banyak masa dan tenaga bagi memastikan dan membetulkan garis badan supaya hasilnya sempurna.

Pada bahagian dalam, permukan panel pemuka ditukar bagi memberikan rasa lebih tenang.

Warna putih Adonis dihasilkan sendiri oleh pelajar yang asalnya warna putih dengan tona baharu.

Penulis: Muhammad Md Tajudin / Gambar: Nissan