Kenderaan tidak ada perlindungan insurans meningkat empat kali ganda

oleh Hamimah Hamid|
SEBANYAK 700 kenderaan disita di seluruh negara sepanjang 10 hari Op Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sambutan Tahun Baru Cina kerana tidak mempunyai perlindungan insurans.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (Jpj), Datuk Lokman Jamaan berkata, jumlah tersebut meningkat hampir empat kali ganda berbanding tahun lalu dengan motosikal paling banyak disita kerana kesalahan terbabit.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut Datuk Lokman, daripada 700 kenderaan yang dikesan tidak mempunyai perlindungan insurans, 519 daripadanya adalah motosikal.

“Memang kesalahan ini satu kesalahan yg sangat besar di mana kita terpaksa mengambil tindakan tegas menyita kenderaan-kenderaan ini kerana ia akan melibatkan pihak ketiga apabila berlaku kemalangan.

“Ia juga mendatangkan bahaya kepada pemilik kenderaan itu sendiri bukan sahaja kepada pihak ketiga tetapi kepada diri mereka sendiri kerana tidak dilindungi insurans,” katanya.

Tegas Datuk Lokman, tindakan tegas menyita kenderaan dibuat bagi memberi kesedaran kepada pemilik kenderaan terlibat.

antara motosikal yg disita

Ini kerana katanya, kebanyakan pesalah jalan raya bersikap sambil lewa dalam mematuhi peraturan jalan raya dengan memberi alasan terlupa dan tidak sempat apabila didapati gagal memperbaharui lesen dan cukai kenderaan masing-masing.

Datuk Lokman berkata, tindakan komprehensif bagi mengesan pemandu dan penunggang yang melakukan kesalahan dibuat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (ALPKP 334), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 715) dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.

Beliau berkata demikian kepada media pada operasi penutup Op Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sambutan Tahun Baru Cina 2023 di Tol Jelapang Arah Selatan dekat Ipoh malam tadi.

Seramai 129 anggota daripada lapan agensi terlibat dalam operasi bersepadu bermula pukul lapan malam itu.

Sebanyak 921 kenderaan diperiksa dan 169 didapati melakukan kesalahan dengan 168 dikeluarkan manakala 11 kenderaan disita.