"Mengikut akta itu, antara punca pencemaran di bawah bidang kuasa JAS adalah kenderaan bermotor dan untuk itu, kita ada melakukan pemeriksaan melalui operasi dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kita ada peralatan bagi mengukur jumlah asap hitam dilepaskan dan bunyi bising... jika bacaannya melepasi standard, pengguna kenderaan khususnya motosikal, lori dan bas ini boleh dikenakan kompaun," katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata, sebelum ini pengguna motosikal hanya dikenakan kompuan RM300 bagi kesalahan mengeluarkan bunyi bising, manakala lori atau bas yang melepaskan asap hitam dikenakan kompaun RM2,000.
"Namun dengan akta ini yang pindaannya diwartakan pada 6 Jun lalu, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000," katanya.
Akta 127 yang berkuat kuasa sejak 7 Julai lalu, membabitkan pindaan kepada 28 seksyen dengan jumlah denda sedia ada dinaikkan sehingga RM10 juta bagi kesalahan pencemaran air, pelepasan minyak ke perairan Malaysia, pelepasan buangan ke perairan Malaysia serta pelupusan haram buangan terjadual.
Sebelum pindaan dibuat, hukuman paling tinggi yang boleh dikenakan hanya denda sehingga RM500,000, penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Jumlah tawaran kompaun juga dinaikkan daripada RM2,000 kepada tidak melebihi lima puluh peratus daripada jumlah penalti maksimum yang diperuntukan bagi kesalahan terbabit.
Wan Abdul Latiff berkata, sepanjang enam bulan pertama tahun ini sebanyak 736 kompaun dikeluarkan dengan 312 kepada kenderaan yang menyebabkan pelepasan asap hitam melalui diesel dan bakinya motosikal yang menyebabkan bunyi bising.
Beliau berkata, kompaun itu dikeluarkan hasil 23,227 pemeriksaan sepanjang enam bulan pertama tahun ini dan pada tahun lalu pula sebanyak 36,077 pemeriksaan dilakukan dengan 1,415 kompaun dikeluarkan.
Katanya, bagi kesalahan bunyi bising oleh motosikal, ia kebiasaannya disebabkan oleh pengubahsuaian terhadap kenderaan itu.
"Sementara bagi pelepasan asap hitam berlebihan, ia selalunya disebabkan kegagalan pengguna kenderaan membuat penyelenggaraan mengikut jadual ditetapkan.
"Bagi kenderaan diesel, kualiti bahan api itu sudah tinggi di negara ini, jika berlaku pelepasan asap hitam, ia bermaksud mereka tidak menukar minyak enjin mengikut jadual," katanya.
Wan Abdul Latiff berkata, JAS turut melakukan pemeriksaan ke atas stesen petrol bagi memastikan bahan api yang disediakan adalah mengikut standard ditetapkan.
Beliau berkata, ketika ini JAS hanya mempunyai 1,100 pegawai penguat kuasa di seluruh negara dan bercadang memohon 3,000 perjawatan baharu berikutan pertambahan tugasan.