Kenderaan pacuan empat roda JPJ terbalik, empat pegawai cedera

oleh SALINA JALIL|
Empat kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berdepan saat mendebarkan apabila kenderaan pacuan empat roda milik jabatan itu terbalik di Kilometer 412.2 Leburaya Utara Selatan (PLUS) arah utara, petang semalam.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024
CHERY Omoda 5 NCAP MREC Banner Campaign September 2024

 

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang, pemandu, Nur Syafiq Amirullah Mohamad, 29, penumpang hadapan, Pauzi Said, 49; dan dua lagi rakan mereka di tempat duduk belakang, Zulhamizan Idris, 27 serta Mohd Ridzuan Abd Hamid, 38 terselamat dan hanya cedera ringan.

 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata ketika kejadian, empat kakitangan JPJ terbabit yang menaiki kenderaan Ford Ranger itu sedang menjalankan tugas rondaan di lebuh raya berkenaan.

 

“Mereka sedang membuat rondaan dalam kawasan Hulu Selangor menghala ke Plaza Tol Tanjung Malim dan ketika sampai di tempat kejadian, kenderaan mereka hilang kawalan lalu terbabas sebelum terbalik ke dalam longkang di sebelah kiri lebuh raya.

 

“Kesemua mereka cedera ringan dan dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Katanya lagi, siasatan masih diteruskan bagi mencari punca sebenar kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Difahamkan, kakitangan JPJ terdiri daripada seorang pegawai dan tiga anggota terbabit bertugas di Stesen Penguatkuasaan JPJ Kalumpang dan ketika kejadian, cuaca dalam keadaan hujan lebat.

 

 

Sumber: BH