Kenderaan Nasional Ketiga - Mimco Alif usul SUV elektrik - bakal dijual 60k unit setahun, konsep siap dalam masa 6 bulan

oleh HEZERI SAMSURI|
Drama kenderaan nasional ketiga negara semakin serius berdasarkan laporan-laporan terbaharu dari akhbar The Edge dan juga laman web automotif Paul Tan.

Desas-desus industri sendiri menjangka kelewatan Dasar Automotif Negara (NAP) yang sepatutnya diumumkan pada awal tahun ini dilewatkan agar dasar-dasar baharu yang membantu syarikat nasional baharu itu boleh diserapkan.

Walaupun hanya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof sahaja yang mempromosikan idea ini, pelan pembangunan syarikat itu diteruskan dengan bantuan agensi kerajaan MIGHT (Kumpulan Industri dan Kerajaan Malaysia untuk Teknologi Tinggi).
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Setakat ini, tidak ada satu pun perancangan mantap yang mampu diberikan oleh pihak-pihak itu sehingga laporan-laporan ini muncul.

Menurut The Edge, ada dua syarikat yang tersenarai pendek untuk diberikan projek nasional tersebut, Elenvi Otomotif dan Alam Perkasa Consortium (APC).

APC diberitakan akan mewujudkan syarikat Malaysia International Motor Company (Mimco) untuk membina kenderaan elektrik yang akan dijual seawal 2022.

Ini bercanggah dengan kenyataan awal Redzuan yang berkali-kali mengatakan kenderaan nasional ketiga ini akan dijual tahun hadapan.

Pengerusi APC, Mohamad Mansor Ngah berkata syarikatnya akan membina model pertama mereka, iaitu sebuah SUV elektrik (EV) saiz sederhana yang direka oleh GFG Style, milik Giorgetto Giugiaro dan anaknya, Fabrizio.

Menurut Mansor lagi, jika APC dipilih oleh kerajaan, pihaknya dan GFG mampu menghasilkan sebuah prototaip yang berfungsi dalam masa enam bulan dan boleh dipamerkan di Geneva Motor Show.

Mimco katanya sudah pun diberikan slot di pameran tersebut.

Mansor kemudiannya berkata kepada The Edge bahawa beliau terbabit dengan penghasilan konsep Proton Emas, Proton Preve dan YoungMan Artiga (yang dibina berdasarkan Satria Neo).

SUV elektrik yang diberi nama Alif itu mempunyai halaju maksimum 230 kmsj dengan jarak pemanduan 450 km untuk sekali caj dari bateri 95 kWh.

APC juga dikatakan telah membeli hak cipta untuk Platform AMP (Advanced Modular Platform) tahun lalu, dan platform ini boleh digunakan untuk membina kenderaan-kenderaan EV mereka.

Mansor yakin pendedahan yang diterima dari pameran di Geneva akan membuka mata negara luar dan membantu pemasaran kenderaan tersebut, terutamanya di Eropah.

Syarikat APC mempunyai sasaran jualan sebanyak 60,000 unit untuk tahun pertama mereka.

APC bercadang untuk mengeksport 80 peratus dari kenderaannya ke Eropah dan US.

Untuk masuk ke pasaran China pula, APC akan bekerjasama dengan syarikat Qiantu Motor.

Mansor mendedahkan bahawa fasa pertama kilang APC akan menghasilkan produk pertama dalam masa dua tahun selepas dipilih oleh kerajaan.

"Berdasarkan pelan perniagaan kami, kami yakin akan mendapat pulangan sebanyak RM14 billion dari penjualan 60,000 unit SUV Alif setahun," ujar Mansor.

Sebanyak 70 peratus dari Alif akan dihasilkan dalam bentuk Panduan Sebelah Kiri untuk dieksport.

Jumlah penghasilan akan ditingkatkan ke 160,000 unit menjelang 2025 untuk model kedua syarikat ini, iaitu sebuah kereta bandar.

Mansor juga menjanjikan bahawa kesemua komponen kenderaan tersebut (kecuali bateri), termasuk motor elektrik dan transmisi akan dibina di dalam Malaysia oleh vendor-vendor tempatan dengan bantuan vendor luar.

APC dikatakan tidak memerlukan dana kerajaan kerana ia sudah mempunyai suntikan modal sebanyak RM5 bilion dari pelabur-pelabur.

Mansor turut berkata pelan perancangan jangka sederhana APC ialah ia mahu menyenaraikan Mimco di Pasaran Saham New York.

Menurut laporan Paul Tan pula, cadangan menyenaraikan syarikat itu di pasaran saham besar New York adalah sama seperti yang telah dilakukan oleh NiO, satu syarikat kenderaan elektrik dari China.

NiO mendapat pelaburan dari nama-nama gergasi seperto Tencent, Baidu, Lenovo dan juga syarikat pelaburan Singapura, Temasek.

SUV elektrik pertama NiO, ES8 hanya berjaya dijual sebanyak 17,550 unit dalam tahun pertamanya di China, pasaran automotif terbesar dunia.

Mansor pula menyatakan syarikat beliau yang masih tidak mengumumkan pelabur-pelaburnya akan menjual sebanyak 60,000 unit setahun.

 

 

Memang benar Projek Emas (gambar di atas) dan Preve itu direka oleh Giugiaro untuk Proton. Namun begitu, projek tersebut mempunyai banyak "kesamaran" dan desas desus wujudnya orang tengah.

Konsep Emas itu contohnya telah dibina oleh Giugiaro untuk sekian lama dan menggunakan nama lain sebelum dijual kepada Proton. Projek itu yang sepatutnya menjadi dasar kepada Iriz telah ditukar kepada Iriz sekarang.

Hanya sekarang Careta mendengar wujudnya bantuan orang Malaysia di dalam penghasilan konsep Emas itu. Tidak dipastikan berapa yang dibayar kepada konsortium yang bertanggungjawab untuk konsep Emas dari Giugiaro, namun Careta percaya kos itu boleh dilupuskan kerana Proton mampu mereka-bentuk kenderaan sendiri.

Konsep Emas sebenarnya ialah sebuah kenderaan bandar super kompak seperti Kancil. Rancangan awal ialah untuk menggunakan enjin 1.2L milik Mitsubishi tetapi ia dibatalkan oleh DRB-Hicom bila ia membeli Proton.

 

 

 

Kerana ketiadaan pilihan enjin, unit Campro dimasukan dan oleh kerana itu, saiz Iriz juga diubah untuk menjadikan ia pesaing Myvi.

Projek Iriz yang dijaga sendiri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan ia telah dilancarkan dalam bulan September 2014.

Iriz masih lagi dijual sehingga sekarang dan penggantinya dipercayai akan muncul paling awal dua tahun lagi dan akan menggunakan salah satu model terbaharu dari Geely.

* Artikel ini berdasarkan laporan-laporan dari The Edge dan Paul Tan

https://www.theedgemarkets.com/content/behind-story-who-alam-perkasa-1

https://paultan.org/2019/07/29/alam-perkasas-new-national-car-proposal-mimco-alif-ev-suv-giugiaro-design-60k-units-year-80-exports/

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Ia juga akan menyediakan pasaran kepada pengeluar komponen E&E automotif tempatan untuk terus…