KENDERAAN MASUK KE KELANTAN MENINGKAT 10 PERATUS MINGGU INI

oleh Penyumbang Rencana 2|
JUMLAH kenderaan yang memasuki Kelantan dalam tempoh cuti persekolahan kali ini meningkat 10 peratus.

Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, ekoran pertambahan jumlah kenderaan itu, pemeriksaan serta sekatan jalan raya (SJR) akan sentiasa dibuat bagi memastikan kesemua mereka memiliki dokumen perjalanan sebelum dibenarkan masuk ke Kelantan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Tegas beliau, sekiranya ada yang gagal mengemukakan dokumen terbabit akan diarahkan untuk berpatah balik.

"Di musim cuti persekolahan kita dapati ada pertambahan kemasukan kenderaan perantau ke negeri ini sebanyak 10 peratus.

"Apa yang penting semua yang pulang ke kampung halaman perlu mematuhi segala peraturan terutamanya membawa dokumen merentas negeri dan patuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Pasir Mas antara ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif dengan ACP Mohd Nasaruddin M Nasir, di Pasir Mas, hari ini.

Datuk Shafien pada masa yang sama turut mengingatkan perantau yang pulang dan menghadiri sebarang majlis agar sentiasa menjaga penjarakan fizikal serta memakai pelitup muka.

"Apabila pergi ke kenduri dan sebagainya, patuhilah SOP seperti memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

"Jika bergambar pun pastikanlah ada sedikit jarak yang sepatutnya. Semua ini adalah bagi mengurangkan penularan jangkitan COVID-19," katanya.

 

Artikel oleh Hamimah Hamid / Mohd UmzarulFaiz Umar