Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin berkata, walaupun sudah 10 tahun larangan itu berkuat kuasa, namun masih ramai pemandu kenderaan berat masih degil.
"Pelbagai alasan yang diberikan oleh pemandu kenderaan berat termasuk tidak mengetahui penguatkuasaan larangan di waktu puncak.
"Untuk makluman kenderaan berat dengan Berat Tanpa Muatan (BTM) 10,000 kilogram ke atas tidak dibenarkan untuk menggunakan lebuh raya bermula jam 6 sehingga 9.30 pagi," katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan semalam.
Beliau berkata, pada tahun lalu sejumlah 2,385 saman dikeluarkan ke atas pemandu kenderaan berat kerana gagal mematuhi larangan yang dikuatkuasakan.
"Bagi 2020 sebanyak 1,458 saman dikeluarkan, ini menunjukkan peningkatan sebanyak 927 saman.
"Operasi ini diteruskan bagi memberi kesedaran terutama kepada pemandu kenderaan berat," katanya.
Menurutnya, larangan yang dikuatkuasakan ini bertujuan melancarkan aliran trafik ketika waktu puncak sekali gus mengurangkan kemalangan jalan raya.
"JSPT terus komited mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap mana-mana individu yang masih berdegil serta ingkar dengan peraturan dan undang-undang demi keselamatan pengguna jalan raya," katanya.