Kenderaan berat dilarang masuk lebuh raya terpilih pada waktu puncak mulai 19 Feb

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memperluas larangan pergerakan kenderaan berat memasuki lebuh raya pada waktu puncak di beberapa jajaran lebuh raya terpilih di sekitar Lembah Klang bermula pada 19 Feb ini bagi melancarkan pergerakan trafik di kawasan itu serta di bandar raya.

Ketua Pengarah LLM Datuk Sazali Harun berkata jajaran lebuh raya berkenaan adalah di Lebuhraya Utara-Selatan (LUS), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).
CHERY Omoda 5 MREC Banner Campaign March 2025

Beliau berkata pelaksanaan larangan itu diwartakan oleh kerajaan pada 21 Okt tahun lepas dan merupakan satu daripada inisiatif di bawah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR).

"Kenderaan berat yang terlibat dalam pelaksanaan larangan ini ialah kenderaan motor kelas 2, iaitu kenderaan yang mempunyai dua gandar dan enam roda (kecuali bas) serta kenderaan motor kelas 3, iaitu kenderaan yang mempunyai tiga gandar atau lebih (kecuali bas).

"Bagaimanapun, larangan ini dikecualikan bagi kenderaan berat yang terlibat dengan kerja-kerja pembersihan, pembuangan dan penghantaran sisa domestik; perkhidmatan kecemasan dan penguatkuasaan; serta kenderaan berat yang terlibat dengan kerja penyelenggaraan lebuh raya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelaksanaan di LUS melibatkan jajaran Sungai Buloh ke Bukit Lanjan bagi kedua-dua arah di kilometer (KM) KM456.0 hingga KM459.3 manakala Lebuhraya NKVE membabitkan jajaran Shah Alam ke Jalan Duta bagi kedua-dua arah di KM9.0 hingga KM3.0.

Di Lebuhraya ELITE, jajaran terlibat ialah Shah Alam ke Bandar Saujana Putra di kedua-dua arah di KM1.03 hingga KM16.2 serta di keseluruhan Lebuhraya DUKE.

Sazali berkata langkah itu berkuat kuasa pada Isnin hingga Jumaat (kecuali hari kelepasan am) bermula pada 6.30 hingga 9.30 pagi, dan 4.30 petang hingga 7.30 malam.

Dalam pada itu, LLM turut menyeru semua pemilik dan pemandu kenderaan berat agar dapat mematuhi waktu larangan berkenaan apabila ia mula dilaksanakan.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau turut menjangkakan lebih 70,000 kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2)…
Berita Domestik
Untuk kemudahan pengguna lebuh raya, Sazali berkata, Pusat Pengurusan Trafik LLM akan beroperasi 7…
Informasi
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (…