Kenderaan Autonomi - Syarikat teknologi jangan berlagak gaya BBNU!

oleh HEZERI SAMSURI|
Dunia sekarang sibuk bercerita tentang teknologi kenderaan autonomi atau dalam bahasa Inggerisnya, autonomous vehicle.

Kenderaan yang mampu memandu dengan sendiri mampu mengurangkan jumlah kemalangan yang besar dan ia juga memungkinkan dunia tanpa pemilikan kenderaan secara peribadi.

PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Dengan ketiadaan pemandu, kos untuk perkhidmatan e-hailing akan turun dengan banyaknya dan syarikat-syarikat teknologi seperti Google dan lain-lain berlumba-lumba mahu menjadi pelopor di dalam dunia itu.

Sementara itu, majoriti syarikat kenderaan seolah-olah diam seribu bahasa, terutama syarikat kenderaan dari Jepun.

Pada pendapat saya, ia adalah sesuatu yang dijangkakan. Budaya Jepun ialah mereka akan hanya bercerita sekiranya mereka sudah tahu atau sudah benar-benar pasti ia boleh dilakukan.

Contoh terbaik ialah Toyota.

Segala teknologi baharu tidak akan terus digunakan oleh produk-produk mereka. Ia akan diuji sehingga ia benar-benar selamat digunakan, dan selepas itu, ia akan digunakan oleh produk Lexus dahulu.

Lexus ialah jenama yang premium dan teknologi baharu masih terlalu mahal untuk kebanyakan produk Toyota. Pengguna Lexus juga tidak seramai pengguna Toyota.

Selepas ia tahu cara merendahkan kos pengeluaran dan produk itu diuji sepenuhnya tanpa menyebabkan masalah, baharulah ia akan digunakan oleh Toyota secara meluas.

Jadi untuk teknologi autonomi, memang syarikat automotif Jepun nampaknya sedikit sangsi dan kerana itu mereka seolah-olah "tertinggal" di dalam perlumbaan tersebut.

Di dalam pameran Tokyo Motor Show tahun ini, Lexus mengumumkan bahawa Toyota sekarang akan mengkaji penggunakan teknologi autonomi untuk kenderaan-kenderaan yang mempunyai kebolehan terhad di dalam bidang itu.

Strategi baharu itu diumumkan selepas semua syarikat kenderaan dan juga kerajaan mula mengkaji semula teknologi autonomi setelah kes-kes kemalangan maut oleh pemandu Tesla.

 

 

Malah, vendor-vendor juga mula mengubah strategi pengeluaran teknologi autonomi mereka kerana terbukti kenderaan autonomi masih banyak kekurangannya.

Tahun hadapan, Toyota akan melancarkan produk dengan teknologi autonomi Tahap Kedua, di mana kenderaan itu mampu memandu secara sendiri sebaik sahaja ia memasuki lebuhraya.

Ini diterangkan dengan lebih lanjut oleh Nab Presiden Eksekutif Toyota, Shigeki Tomoyama minggu lalu.

"Tahap Kedua memungkin kenderaan itu memandu dengan sendiri dari ia mula masuk ke lebuhraya sehingga ia keluar. Ia juga merangkumi kebolehan untuk masuk ke laluan trafik dengan kenderaan-kenderaan lain," sambungnya.

Saya memang percaya kerana semasa pameran Tokyo Motor Show 2017 lalu, saya berpeluang memandu uji Lexus dengan teknologi separa autonomi di mana ia mampu memotong kenderaan di hadapan dengan sendirinya.

Ia mampu "membaca" kenderaan-kenderaan di sekelilingnya, mencari "peluang" untuk memotong dan kemudian masuk kembali ke laluannya.

Tahap Kedua juga merangkumi kebolehan kenderaan itu untuk parkir dengan sendirinya.

Syarikat kenderaan lain sebenarnya sudah ada teknologi Tahap Kedua itu, dan sudah mula dijual di pasaran-pasaran negara pertama.

Namun begitu, ramai yang sudah mula melengahkan tempoh pengenalan pemanduan autonomi Tahap Ketiga, di mana kenderaan mampu dipandu sendiri di dalam bandar.

Antaranya ialah Nissan, yang pada awalnya mahu mensasarkan tahun 2020 untuk menjual kenderaan autonomi Tahap Ketiga.

Kini Nissan berkata ia hanya mampu memasarkan kenderaan Tahap Ketiga pada penghujung tahun 2020-an.

Volkswagen juga sama.

"Pada awalnya kami yakin kenderaan Tahap Ketiga boleh mula dijual dalam setahun dua lagi tetapi nampaknya sistem itu jauh lebih kompleks dari yang disangkakan," ujar Aria Etemad, pengurus projek dari Volkswagen Group Research.

Tesla nampaknya masih seperti biasa, bangkit dan berkata ia akan menghasilkan perisian yang mampu melakukan pemanduan autonomi sepenuhnya.

 

 

"Kami akan lancarkannya pada penghujung tahun ini," kata Elon Musk, Ketua Eksekutif Tesla kepada pelaburnya.

Seperti biasa juga, Elon yang terkenal dengan cakap tak mudah kalah itu berkata kemudiannya bahawa ia masih memerlukan pengawasan oleh pemandu manusia.

Ramai yang terlupa bahawa Tesla masih lagi sebuah syarikat yang merugikan dan Elon perlu memastikan pelabur-pelaburnya "gembira" dan terus yakin melabur.

Oleh itu, cakap-cakap besarnya yang digemari oleh pengamal media akan menjadi popular dan bila ramai yang suka, ramai yang akan merasa "yakin".

Saya sendiri boleh melihat permasalahan ini di Malaysia. Penulis-penulis muda Careta sendiri cukup yakin dengan Tesla, dan mereka sangat percaya Tesla, Google, Tencent dan pelbagai syarikat teknologi yang lain akan mampu membunuh syarikat-syarikat automotif tradisional dengan kemampuan teknologi mereka.

Pertelingkahan antara "The Nerds versus The Sports Guys" ini bukan baharu. 

Siapa yang tidak suka konsep David versus Goliath ini? Konsep anti-establishment ini memang popular kerana ia memberikan "semangat" kepada mereka yang di dalam kelompok minoriti.

Lihat sahaja kisah Proton. Akan ramai yang mati-mati mahu memenangkan Proton, walhal dalam masa yang sama mereka ini juga menyokong cerita Memartabatkan Bangsa Melayu. 

Nampak janggalnya di situ? 

Tak perlu bermain bangsa, kerana jika silap langkah, yang terpinggir akhirnya ialah semua warga Malaysia. Yang cuba meyakinkan kita pula mempunyai rekod lampau yang tidak ke mana pun.

Yang mana sudah matang, cuma mampu mendiamkan diri kerana mereka tahu cerita sebenarnya. Yang melawan, akan menjadi seteru sosial utama mereka.

 

urban mobiliti

 

Sama seperti isu teknologi autonomi ini. 

Syarikat-syarikat teknologi masih terlalu baharu di dalam dunia automotif. Kerana itu saya gelarkan mereka, BBNU - Budak Baru Nak Up.

Mereka masih beranggapan syarikat automotif hanya mengeluarkan kenderaan dengan enjin yang mampu bergerak. Mereka tidak tahu syarikat kenderaan perlu mengkaji persekitaran di mana kenderaan-kenderaan itu berada.

Kajian penggunaan produk, kajian penggunaan jalanraya, kajian sikap pengguna kenderaan, kajian keselamatan, kajian tahan lasak, kajian untuk mencari keseimbangan antara keuntungan, keselamatan dan prestasi serta beratus lagi kajian perlu dilakukan.

Memang sudah lazim untuk orang ramai mengambil remeh tentang kenderaan.

Pengalaman saya ketika hadir dalam wawancara bersama Menteri Kereta Terbang itu cukup untuk membuktikan bahawa sangat merbahaya jika pihak kerajaan beranggapan kenderaan ini satu industri remeh.

Jangan terlalu percaya ujian-ujian yang dilakukan kerana kesemuanya masih dilakukan di bandar-bandar dunia pertama dan di dalam kawasan terkawal.

Malaysia sendiri berangan mahu menjadikan Cyberjaya sebagai platform percubaan ke arah kenderaan berautonomi, dan ia datang dari mereka yang mempunyai pemandu peribadi.

Sama seperti menyanyi - jika selalu berlatih, merdulah lagu itu, Jika jarang berlatih, banjirlah kawasan sekeliling. 

 

 

Keadaan trafik di Malaysia sudah sampai tahap sehingga ada yang boleh membunuh pengguna lain. Jika kita memandu atau menunggang setiap hari, kita memang boleh katakan kes membunuh itu memang akan terjadi satu hari nanti.

Apa yang saya cuba sampaikan ialah jika kita hendak mempunyai teknologi kenderaan autonomi, mungkin pihak yang berkuasa perlu melihat keadaan trafik kita dahulu sebelum membuka mulut berjanji benda-benda yang tidak pasti.

Syarikat-syarikat teknologi perlu bekerjasama dengan syarikat pengeluar kenderaan kerana selain dari isu keselamatan, syarikat automotif juga tahu cara untuk memastikan keuntungan tetap wujud.

Tanpa keuntungan, tidak ada syarikat yang boleh bertahan kerana cara syarikat kenderaan membuat untung sudah jauh berbeza dari 20 tahun lalu. 

Syarikat automotif yang gagal mencari keuntungan akan ditutup atau ditelan oleh syarikat yang lain. 

Kecuali, kecuali jika semua CEO mempunyai perangai seperti Elon Musk.

 

Berita Berkenaan

Uncategorized
Tesla telah memilih Kuantan, Pahang sebagai salah satu lokasi pengecasan EV pertamanya di Pantai…
Berita Domestik
Tesla bekerjasama dengan Gamuda Land untuk membangunkan kawasan perlindungan alam semula jadi,…
Berita Global
Tesla mengatakan melalui laman webnya, ia akan meningkatkan harga untuk semua kereta Model Y di…