Kenapa SUV terlalu popular?

oleh HEZERI SAMSURI|
Kenderaan dari genre Sport Utility Vehicle (SUV) memang sudah menjadi antara pilihan utama di kebanyakan pasaran automotif global, termasuk Malaysia.

Memang sebabnya ketara tetapi ada juga yang membeli kerana trend. 
PERODUA MREC Banner Campaign May 2025

Di sini kami senaraikan kenapa pembelian SUV semakin meningkat naik.

1. Ia tinggi

Kedudukan tempat duduk pemandu yang lebih tinggi memudahkan pemandu untuk melihat jauh ke hadapan. Ini memang cukup digemari oleh kaum hawa kerana mereka tidak perlu lagi duduk dengan batang hidung satu inci dari stereng (harapnya).

2. Lantai pun tinggi

Lantai yang tinggi memudahkan pergerakan keluar masuk, terutama bagi mereka yang berusia. Kenderaan yang rendah akan memberi tekanan kepada lutut ketika hendak masuk dan juga keluar dari kenderaan. Alasan ini popular di kalangan mereka yang berusia, tetapi bukan semua.

3. Ruang but bersepadu

SUV pada dasarnya ialah sebuah wagon yang tinggi, bermakna ruang but bersekali dengan kabin. Berbeza dengan hatchback di mana ruang but sempit, SUV mempunyai siling yang tinggi dan memudahkan kita memasukan kargo. Jika berani, pengguna boleh mengisi barangan sehingga melepasi tahap tingkap, tetapi ia sebenarnya merbahaya dan salah di sisi undang-undang kerana barang boleh terhumban ke hadapan sekiranya berlaku brek kecemasan.

4. Jarak lega bumi yang melegakan

Ya, peristiwa "perut" kereta tersagat "bamper" atau bonggol jalan sering berlaku dan jarak lega bumi yang tinggi mampu mengelakkan masalah ini. Ia juga membantu bila kita hendak turun ke tepi jalanraya untuk ke warung bunian di tepi kebun getah. Namun begitu, perlu berhati-hati kerana ada SUV yang mempunyai jarak lega bumi sama atau lagi kurang dari sesetengah kereta biasa!

5. Tayar tebal!

Ada SUV yang mempunyai tayar yang lebih besar dan tebal. Ini memberikan efek kusyen yang lebih baik dan melindungi roda aloi dari kemek jika terlanggar lubang. Ia juga memberikan pemanduan yang lebih selesa. Sayangnya, jika SUV anda datang dengan roda aloi bersaiz besar seperti 19-inci dan tayar yang nipis, anda tidak akan dapat menikmati faedah ini dan kerana SUV lebih berat dari kereta, kemungkinan roda aloi besar anda bengkok sebenarnya lebih ketara.

6. Imej aktif yang didambakan

SUV memberikan imej gaya hidup yang aktif, dan ini penting dalam dunia automotif sekarang. Bagi mereka yang berusia, SUV memberikan gambaran usia yang lebih muda, selagi mereka tidak keluar dari kenderaan mereka.

7. Sesuai untuk mereka yang memang aktif!

Bagi mereka yang memang mempunyai gaya hidup yang aktif, SUV cukup sesuai kerana ia mampu dipandu di kawasan yang lebih lasak dan ruang but boleh memuatkan kelengkapan seperti basikal dan sebagainya. Sebenarnya, SUV direka pada awalnya untuk mereka!

8. Rasa macam kereta

SUV sekarang mempunyai kualiti pemanduan seperti kereta. Ini bermakna anda tidak perlu sebarang penyesuaian bila bertukar dari kereta ke SUV!

9. Tiada pilihan

Ini memang menyedihkan untuk mereka yang berminat dengan kereta kerana memang pasaran kurang memberikan pilihan. Kebanyakan jenama hanya menawarkan sedan sahaja. Contohnya, Proton mempunyai Saga, Pesona dan S70 untuk kategori kereta tetapi tidak ada produk untuk sedan mewah kecuali SUV sahaja.

10. Lebih berbaloi

Harga SUV pada awalnya mahal tetapi kini ia lebih mampu. Malah, harga SUV dilihat sebagai lebih berbaloi kerana anda mendapat produk yang lebih besar dan lengkap.

Dalam apapun urusan dunia, pastinya ada baik dan buruk dan SUV juga mempunyai keburukan.

Antaranya ialah:

1. Ia besar dan memerlukan ruang pakir yang lebih. Ia juga memerlukan sedikit perhatian bila dipandu di kawasan sempit.

2. Besar bermakna ia lebih berat dan mewujudkan rintangan udara yang lebih tinggi - bermakna penggunaan bahan api tidak akan menjadi sebaik kereta.

3. SUV mempunyai saiz roda yang lebih besar dan ini bermakna kos penggantian tayar lebih mahal. Bila mahal, anda akan membataskan pilihan tayar kepada jenama-jenama yang tidak dikenali.

4. Kenderaan besar akan menjadi lebih bising kerana rintangan angin yang tinggi, tetapi masalah ini sekarang tidak begitu ketara kecuali pada kelajuan tinggi kerana udara yang lalu di bawah SUV itu.

Tepuk dada tanya selera, pastikan pilihan anda itu sesuai!

Berita Berkenaan

Berita Global
Honda HR-V bagi tahun 2026 tiba dengan beberapa peningkatan kecil dan perubahan harga yang sedikit…
Berita Global
RAV4 Limited Model PHEV kini menggunakan sistem Plug-in Hybrid baharu dengan bateri…
Berita Global
Menurut laporan dari CarNewsChina, Xiaomi YU7 akan menjadi model kedua dalam rangkaian kenderaan…