Kenapa Porsche pilih Malaysia?

oleh HEZERI SAMSURI|
Pemilihan Porsche untuk menjadikan Sime Darby dan Malaysia sebagai fasiliti pertama pemasangan tempatan (CKD) kenderaan pertamanya di luar Eropah menimbulkan banyak tanda tanya.
AION MREC Banner Campaign May 2024

Careta yang berada di majlis pelancaran tersebut di kilang Inokom milik Sime Darby itu bertanyakan soalan itu kepada Detlev von Platen, salah seorang dari ahli lembaga jualan dan pemasaran Porsche AG.

Menurut von Platen, lokasi Malaysia yang terletak di tengah wilayah Asia Pasifik menjadikan ia sangat sesuai untuk projek perintis Porsche.

Porsche Asia Pasifik yang berpengkalan di Singapura mempunyai 13 pasaran rasmi di rantau ini (tidak termasuk Australia). Dengan jumlah penduduk sebanyak 650 juta orang, Asia Pasifik ialah pasaran yang penting dan lokasi Malaysia adalah satu kelebihan.

 

 

Selain dari itu, von Platen juga menambah bahawa hubungan baik Porsche dengan Sime Darby menjadi salah satu faktor penting dalam keputusan mereka untuk memilih Malaysia.

“Porsche sudah lama bekerjasama dengan Sime Darby dan mereka (Sime Darby) telah membuktikan kesungguhannya untuk membina Porsche sebagai sebuah jenama kereta sport yang kukuh di Malaysia,” terang von Platen.

Bila diajukan soalan berkaitan Porsche akan memasang model selain dari Cayenne di Malaysia, von Platen yang menyertai Porsche sejak tahun 1997 itu berkata kemungkinan itu wujud.

“Kami memang mempunyai perancangan untuk memasang model-model Porsche yang lain di Kulim, tetapi ia bergantung kepada permintaan pasaran.

Projek CKD di Kulim ini ialah titik permulaan yang penting dan segala keputusan kami untuk masa hadapan projek ini bergantung kepada bagaimana reaksi pengguna. Jika permintaan dilihat bertambah, pastinya kami akan memperkenalkan model baharu untuk dipasang di Malaysia,” jawabnya.

 

 

Buat masa sekarang kilang Inokom akan memasang varian CKD Porsche Cayenne khusus untuk pasaran tempatan dan sekiranya projek ini berjaya, von Platen tidak menolak kemungkinan Inokom boleh memasang model-model Porsche untuk dieksport ke negara-negara jiran.

Tahun lalu, media tempatan melaporkan bahawa selain dari Cayenne, Porsche juga akan memasang model SUV kecil mereka, Macan. Ada juga desas desus model elektrik pertama jenama premium itu, Taycan akan dipasang di Kulim juga.

Nampaknya kedua-dua model itu perlu menunggu keputusan hasil Cayenne CKD ini dahulu sebelum mula dipasang di dalam negara.

 

 

Porsche juga akan terus mengimport varian-varian lain Cayenne buat masa sekarang kerana hanya varian asas sahaja yang akan dipasang di sini.

Projek CKD Porsche ini membenarkan pekerja tempatan dihantar ke Eropah untuk menjalani latihan teknikal, selain dari menawarkan peluang pekerjaan tempatan bagi membina kebolehan Malaysia memasang kenderaan premium berprestasi dan berteknologi tinggi.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Secara keseluruhan, para jurutera dan pemandu uji telah memandu 911 baharu di dalam program…
Berita Global
Kira-kira 858 Taycan pada mulanya dikenal pasti berisiko dan ditarik balik pada bulan Januari,…
Berita Domestik
Lokasi itu terletak di dalam kawasan ladang sawit berhampiran dengan sebuah kampung yang terletak…