Kenapa motosikal elektrik kurang berjaya

oleh HEZERI SAMSURI|
Motosikal elektrik wujud, dan kami di Careta sudah menunggang uji beberapa model. 

Namun begitu, secara global, motosikal elektrik tidak begitu berjaya seperti kereta elektrik dan di bawah kita bincangkan beberapa isu yang menyebabkan kegagalan tersebut.

MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Jarak gerak yang terlalu pendek

Rata-rata, ini ialah isu utama yang menjadi halangan. 

Syarikat motosikal elektrik sering memaparkan jarak gerak yang masih terlalu rendah berbanding dengan kereta.

Contohnya skuter elektrik dari BMW, CE 04. Ini ialah satu produk dari gergasi automotif dunia dan jarak gerak yang diberikan ialah 130 km.

Namun begitu, ujian dari Careta sendiri mendapati ia tidak mampu mencapai 100 km bila ditunggang secara normal. Secara purata, ia hampir mencapai antara 90 ke 100 km.

Model-model motosikal elektrik dari syarikat lain juga sama - malah menunjukan jarak gerak yang lebih teruk.

Angka itu akan menjadi lebih mengerikan bila laluan itu dipenuhi dengan bukit, atau bila ditunggang dengan pembonceng.

 

Masa mengecas yang terlalu lama

Kebanyakan motosikal elektrik menggunakan mengecas ringkas dengan plag tiga pin.

Ini menjadikan masa mengecas melampau empat jam atau lebih. 

Untuk motosikal elektrik yang canggih seperti BMW, ia menggunakan sistem pengecas AC Type 2 yang lebih pantas, tetapi masih di atas satu jam dengan pengecas 6.9 kW.

Tidak ada lagi motosikal yang mampu menggunakan pengecas pantas DC untuk membolehkan pengecasan berlaku dalam tempoh 30 minit.

Dalam ertikata lain, teknologi bateri yang ada sekarang masih tidak cukup canggih untuk memenuhi kriteria motosikal.

 

Masih terlalu berat

Motosikal elektrik rata-rata jauh lebih berat dari motosikal biasa, kecuali mungkin Harley-Davidson.

Ini ialah kerana berat bateri yang jauh melampaui berat sebuah enjin. 

Berat ini akan menjadi beban dan ia akan meningkatkan penggunaan tenaga, yang akan memendekkan jarak gerak.

Ia juga akan membuatkan motosikal itu kurang lincah dan ya, kurang seronok ditunggang.

 

Halaju yang terlalu rendah

Isu ini memang menjadi masalah untuk negara seperti Malaysia yang mempunyai jaringan jalanraya yang lebih moden.

Halaju malar kita di dalam bandar adalah lebih tinggi dari di Thailand atau di Indonesia, dan ia menjadikan jarak gerak motosikal elektrik terlalu rendah.

Ia juga perlahan di atas lebuhraya, berbanding dengan motosikal biasa yang jauh lebih murah dari motosikal elektrik.

Kenderaan yang terlalu perlahan akan menjadi halangan kepada kenderaan lain dan ini akan meningkatkan risiko kemalangan.


Harga yang masih kurang relevan

Harga motosikal elektrik memang masih mahal. Sekali lagi, contoh BMW CE04 yang dijual di Malaysia dengan harga RM60,000.

Itu ialah harga bebas duti import, sempena insentif EV yang dipraktikan oleh Malaysia sekarang ini.

Untuk sebuah motosikal berharga RM60,000, CE04 tidak mampu berjalan jauh dan prestasinya juga tidak sebaik motosikal biasa pada harga yang sama.

Dalam erti kata lain, harga tinggi tetapi nilai rendah.

 

Bahaya

Kelebihan EV ialah ia tidak menghasilkan pencemaran asap, dan bunyi.

Di dalam negara di mana motosikal dibenarkan untuk bergerak di antara kenderaan lain, motosikal elektrik terlalu senyap dan tidak akan memberi amaran kepada pengguna lain.

Ia juga akan menjadi pilihan utama untuk peragut kerana ia senyap dan pantas, tetapi dengan jarak gerak yang pendek, polis cuma perlu menunggu untuk ia kehabisan tenaga sebelum menangkap peragut bebas pencemaran itu.

 

Kurang pilihan

Buat masa sekarang, tidak ada banyak pilihan untuk motosikal elektrik. Dari jenama besar, hanya BMW sahaja yang menawarkan versi elektrik secara rasmi.

Syarikat lain ialah syarikat kecil yang tidak mempunyai khidmat selepas jualan yang baik. 

Ini ialah satu isu besar kerana motosikal elektrik, sama seperti EV yang lain, sukar untuk diselenggara oleh bengkel-bengkel biasa.

Sememangnya industri motosikal membuktikan satu isu yang ramai tidak mahu menyebut - teknologi bateri sebenarnya masih tidak matang untuk menggantikan kenderaan berenjin dalam skala yang lebih besar.

Di bawha ialah video tunggang uji Careta dengan BMW CE04, skuter elektrik menarik yang modern dan nampak futuristik.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Mungkin jika disebut mengenai motosikal elektrik, pasti dalam fikiran, bahawa motosikal itu tidak…
Pelancaran Motosikal
Sedikit berbeza dengan model Alva One yang terdahulu, versi kemas kini terbaharu ini tampil dengan…
Berita Global
Kini, pengeluar tersebut telah mengumumkan tarikh penjualan bagi dua model motosikal elektrik,…