Sebelum pameran automotif GIIAS di Jakarta itu lagi, Mitsubishi juga telah membuat pengumuman bahawa Thailand akan menjadi hab untuk model-model hibrid mereka.
Careta bertanya kepada Mitsubishi kenapa syarikat itu memilih kedua negara tersebut.
Menurut presiden dan CEO Mitsubishi Motors Corporation (MMC), Takao Kato, ada punca utama ialah kerana kepentingan kedua negara ini di dalam sejarah syarikat itu di rantau Asean.
"Kami sudah membuat pelaburan yang besar untuk fasiliti pemasangan kenderaan di Indonesia dan Thailand sejak sekian lama lagi.
Kami juga mempunyai jualan yang tinggi di kedua-dua negara ini," terang Kato.
Beliau yang hadir di Jakarta untuk melancarkan XForce itu turut berkata rantai bekalan Mitsubishi di Indonesia dan Thailand sudah cukup matang.
"Model-model Mitsubishi di Thailand mempunyai kandungan komponen tempatan menghampiri 100 peratus sementara untuk Indonesia, sudah melebihi 70 peratus," tambahnya lagi.
Untuk model XForce, dijangkakan penggunaan komponen tempatan adalah sehingga 83 peratus.
Kerajaan Indonesia pula mengumumkan bahawa Mitsubishi akan melabur sebanyak US$375.25 juta tahun hadapan bagi membesarkan lagi pengeluaran kilang pemasangan tempatan jenama itu di Deltamas, Jawa Barat.
Kilang itu mempunyai kapasiti pemasangan sebanyak 176,000 unit setahun dan akan ditingkatkan kepada 231,000 unit.
Tahun lalu, sebanyak 1.04 juta unit kenderaan terjual di Indonesia, meningkat dari 887,000 unit dalam tahun 2021.
Dari segi pembuatan pula, Indonesia telah memasang sebanyak 1.47 juta unit kenderaan dalam tahun 2022, bermakna jumlah eksport kenderaan Indonesia jauh melebihi Malaysia.