Kenapa, macam mana dan petanda transmisi automatik atau CVT rosak - Zaidi JV Autolube

oleh HEZERI SAMSURI|
Sebut nama Mohmd Zaidi Mohmd Souade, tak ramai akan kenal tapi jika nama Zaidi JV Auto Lube dipetik, ramai akan mengangguk kepala.

Zaidi, 41 dari Shah Alam bukan nama asing dalam bidang mekanik kenderaan. Anak kepada "pomen" kapal ini mencipta nama dalam pembaikan transmisi kenderaan dan juga memiliki jenama pelincir dan aditif sendiri khusus untuk transmisi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Malah beliau memiliki puluhan kakitangan dan mempunyai "call-centre" sendiri untuk memudahkan urusan pelanggan beliau.

"Saya sebenarnya banyak belajar dari internet," ujar Zaidi ketika ditemuramah (sebelum PKP 2.0 berlangsung).

"Susah untuk kita belajar ilmu dari orang kerana mereka akan risau kita akan ganggu periuk nasi mereka. Saya rasa tidak ada masalah untuk membantu dan sebab itu saya rela membantu mekanik lain yang mahu belajar cara membaiki transmisi," sambungnya.

"Melayu, Cina, India, semua ada datang nak belajar," kata Zaidi lagi.

 

 

 

Antara sistem transmisi yang selalu dilihat oleh Zaidi akan kecundang lebih awal ialah transmisi jenis CVT (Continuous Variable Transmission).

"CVT ini bukan seperti transmisi automatik biasa dengan torque converter. Ia sebenarnya bagus tetapi cara penggunaannya perlu difahami agar ia tahan lama.

Sistem CVT lebih mudah dan ringkas kerana ia cuma ada pulley, belt dan rantai besi, plet klac dan penutup getah. Cuma jika rosak dan kita ke pusat servis, mereka tidak akan membaikinya tetapi meminta pemilik menukar terus keseluruhan sistem," terang Zaidi.

"Itu memang SOP mereka kerana jika dibaiki, ia tidak akan menguntungkan pusat servis. Sekarang ini, ada pusat servis yang mencadangkan pemilik untuk ke bengkel kami sebagai alternatif lebih mampu," sambung Zaidi.

 

 

Di bawah ialah beberapa tip dari Zaidi mengenai sistem transmisi CVT dan cara penggunaannya serta kerosakan-kerosakan yang sering dilihat oleh beliau.

  • Transmisi CVT sensitif pada beban dan gegaran. Contohnya, pecutan yang terlalu kerap akan memberikan beban yang berlebihan. Pendakap atau mounting enjin yang rosak juga akan menyebabkan gegaran dan merosakan CVT.
  • Kelajuan bukan masalah kerana tidak ada beban yang tinggi.
  • Penggunaan fungsi "- dan +" (manual virtual gear ratio) pada transmisi CVT juga bukan masalah. 
  • Pecutan pantas seperti "menyentap ala launch control" yang sebenarnya akan merosakan sistem CVT.
  • Apa yang terjadi semasa pecutan agresif ialah pulley akan mengembang secara terlalu cepat dan menyebabkan hakisan pada permukaannya (gambar di atas). 
  • Ia akan menyebabkan belt pulley putus (gambar di bawah).

 

 

  • Ada juga CVT dan torque converter yang rosak kerana rivet pada plet klac patah akibat sentapan terlalu kerap.
  • Untuk jenama Toyota, ciri-ciri CVT sudah mula meragam ialah bila tuil gear masuk ke D atau R, akan terasa sedikit sentapan. Kelajuan juga mati pada 80 kmsj.
  • Untuk CVT lain, tanda-tanda CVT sudah rosak ialah kenderaan langsung tidak boleh bergerak kerana rantai atau belt sudah putus.
  • Untuk transmisi automatik AT biasa pada Perodua Bezza, washer dari plastik pada torque converter mudah pecah, terutama yang banyak memandu di dalam situasi kesesakan urban (stop go traffic).
  • Untuk transmisi automatik AT biasa pada kenderaan lain, antara tanda-tanda ia mula meragam ialah:
    • Sentapan berlaku bila masuk ke D atau R.
    • Pemanduan perlahan walaupun enjin meraung kerana klac sudah "slip".
    • Nisbah gear tidak boleh bertukar - lekat pada satu gear sahaja.

 

 

Zaidi juga berkongsi informasi mengenai kos mengganti transmisi (kos ini adalah atas maklumat peribadi Zaidi).

  • Untuk menukar sebuah kotak gear di pusat servis, lebih kurang RM20,000 dan ke atas.
  • Untuk Toyota Velfire/Alphard, kos kotak gear baharu ialah RM30,000.
  • Kotak gear dari kedai potong bagi Velfire/Alphard pula ialah RM5,000, tanpa upah pasang.
  • Kotak gear Perodua Bezza yang baharu adalah dalam RM15,000.

Kemudian Zaidi berkongsi kos untuk membaiki transmisi pula.

  • Kos membaiki kotak gear Velfire/Alphard ialah dalam RM6,500.
  • Kos membaiki CVT untuk Honda City, Proton Exora, Proton Preve, ialah dalam RM4,500.
  • Kalau mahukan kos lebih rendah untuk Proton, boleh cari kotak gear terpakai di kedai potong tetapi jumlahnya sangat terhad.
  • Untuk Perodua Bezza, kos baikpulih kotak transmisi ialah RM3,500.

 

 

Zaidi sekarang memberikan latihan kepada bengkel-bengkel yang mahu belajar membaiki sistem transmisi. Malah Zaidi sanggup mengambil seorang jurutera dari syarikat kenderaan tempatan untuk membantu beliau dalam operasi seharian dan dalam memberi latihan teknikal yang betul kepada pelatih-pelatihnya.

Beliau menghasilkan alatan yang khas untuk tujuan membaiki sistem tersebut dengan harga RM700 (gambar di bawah), dan juga aditif serta bendalir untuk sistem transmisi di bawah jenama JV Autolube.

 

 

Sekarang ini, Zaidi mempunyai rakan-rakan yang dilatihnya untuk memberikan perkhidmatan membaiki transmisi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Untuk informasi lebih lanjut, sila hubungi Che Mat di 018-982 8099 (Whatsapp) atau Che Wan di 017-399 9398 (Whatsapp).

Anda juga boleh melayari laman web JV Autolube di https://jvalube.com untuk senarai agen mereka.

Di bawah pula ialah video kunjungan Careta ke bengkel JV Autolube.