Kenapa lokasi kamera AWAS 'nampak selamat'?

oleh Mohamad Hanif|
Kamera AWAS atau nama penuhnya Automated Awareness Safety System merupakan salah sebuah program di bawah Road Safety Plan Malaysia 2006-2010 bagi mengurangkan kadar kemalangan maut di seluruh negara.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Bermula dengan hanya 14 unit kamera, sistem AWAS kini terdapat lebih daripada 40 lokasi di seluruh negara, di mana 29 unit daripadanya merupakan kamera hadlaju dan 16 daripadanya kamera lampu isyarat merah.

Setelah beberapa tahun tempoh berlalu, kajian daripada MIROS mendapati kadar kemalangan berpunca dari pemanduan melebihi had laju serta kes pelanggaran lampu isyarat dilihat berkurangan selepas pemasangan kamera AWAS di lokasi-lokasi tersebut.

Namun, ada juga yang berpendapat lokasi pemasangan kamera tersebut dilihat tidak sesuai kerana ia bukanlah kawasan yang kerap berlaku kemalangan.

Adakah hal ini benar?

 


Careta telah berjumpa sendiri dengan Puan Sharifah Allyana Syed Mohamed Rahim, Pegawai Penyelidik di Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya (MIROS) untuk mendalami isu ini dengan lebih teliti.

Menurut Sharifah Allyana, sebelum sesebuah lokasi ditentukan sebagai tempat pemasangan kamera AWAS, mereka memerlukan data nahas kemalangan nasional daripada Polis DiRaja Malaysia sekurang-kurangnya dalam tempoh empat tahun bagi menunjukkan terdapat bukti kawasan tersebut sememangnya kawasan kerap mengalami kemalangan.

Daripada situ, pihak MIROS menganalisa data tersebut dan bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), PDRM, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melakukan verifikasi lapangan untuk menentukan kawasan tersebut masih berstatus hospot atau 'kawasan cenderung kemalangan' sebelum memasang kamera AWAS.

Selain daripada itu, beberapa faktor perlu dipertimbangkan seperti lokasi yang bersesuaian untuk memasang kamera, dan memastikan pemasangan struktur kamera tersebut tidak menjadi asbab kepada kemalangan.

 


Hanya selepas mengenal pasti lokasi tersebut bersesuaian, baharulah kesemua pihak bersetuju untuk memasang kamera AWAS di tempat kejadian.

Pihak MIROS turut menjalankan kajian di 14 lokasi rintis bagi mengenalpasti keberkesanan sebelum dan selepas pemasangan kamera AWAS, di mana hasil dapatan menunjukkan terdapat peningkatan tahap kepatuhan terhadap had laju dan lampu isyarat merah.

Menurut Sharifah Allyana, persepsi sesetengah kawasan yang dipasang kamera AWAS dilihat selamat adalah berpunca daripada perspektif umum yang melalui kawasan tersebut setelah satu tempoh masa yang lama kesan daripada pematuhan para pemandu terhadap kamera AWAS sebelum ini.

Ini turut dibuktikan menerusi sebuah lagi kajian berasingan yang dijalankan untuk menilai tahap persepsi terperangkap (Perception of Being Caught, POBC) dalam tempoh dua tahun selepas pelaksanaan AWAS.

Kajian tersebut mendapati selepas implementasi AWAS dilaksanakan, kebanyakan pemandu percaya peluang untuk mendapat saman adalah lebih tinggi sekiranya mereka memandu melebihi had laju atau lampu isyarat merah.

 


Jadi selepas satu tempoh tertentu, pemasangan kamera AWAS tersebut dilihat mampu mengurangkan kadar kemalangan yang biasanya diakibatkan oleh memandu melebihi hadlaju dan melanggar lampu isyarat merah, sekaligus berjaya mewujudkan 'persepsi' kawasan selamat di kalangan para pemandu.

Dalam pada itu, sebanyak empat lagi kamera AWAS akan ditambah di kawasan Terowong Menora untuk mengurangkan kadar kemalangan di lebuh raya berdasarkan kenyataan daripada Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid bulan lalu,

Namun, tidak seperti kawasan kamera AWAS yang menetapkan had laju 110 km/j, had kelajuan yang akan ditetapkan di kawasan Terowong Menora adalah 70 km/j sahaja.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
“Hal ini disokong dengan kajian yang telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan…
Berita Domestik
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid, berkata operasi…
Berita Domestik
Sebelas kamera Automated Awareness Safety System (AWAS) dijangka ditambah di lokasi-lokasi yang…