Kenapa kereta saya datang dengan "heater" yang mahal?

oleh HEZERI SAMSURI|

Pasti anda pernah terfikir kenapa ada kenderaan yang hadir dengan pemanas tempat duduk (seat heater) atau pemanas (heater).

Ini lazim untuk kenderaan yang diimport secara terus (CBU) dari negara luar, dan ia lengkap dengan aksesori-aksesori yang mungkin tidak masuk akal di Malaysia.

Antara sebabnya ialah sistem menu yang digunakan oleh kilang kenderaan itu sendiri. Paling selalu terjadi ialah bila pengedar kereta dari Malaysia mahukan model kenderaan itu dilengkapi dengan tempat duduk hadapan dengan kawalan elektrik.

 

 

Seringkali di dalam sistem menu tempahan stok, tempat duduk elektrik akan dilengkapi terus dengan pemanas tempat duduk. Pengedar kereta tempatan tidak dapat membuang pilihan itu dan kerana itu kos kenderaan naik kerana aksesori yang tidak berkaitan terpaksa diambil.

Seorang pengurus tinggi dari sebuah syarikat automotif jenama Eropah memberitahu Careta bahawa spesifikasi kenderaan di Malaysia ini unik.

 

 

"Pengguna Malaysia lebih terbuka akan dunia automotif dan mereka mahukan aksesori-aksesori canggih seperti bumbung panoramik, sistem kawalan traction, tempat duduk berkuasa elektrik dengan memori, fungsi Mirror Link pada unit hiburan dan tayar simpanan bersaiz besar. Kesemua ini tidak begitu popular di negara-negara jiran dengan pasaran yang berkali ganda lebih besar dari Malaysia," terang beliau.

"Spesifikasi yang canggih dan syarat keselamatan produk yang tinggi ialah antara kombinasi kenapa harga sebenar kereta kita lebih mahal."

Kilang pemasangan BMW di Thailand.

 

Beliau kemudian menerangkan walaupun struktur cukai di Malaysia, Indonesia dan Thailand lebih kurang sama, tetapi jualan kenderaan negara kita jauh lebih kecil menyebabkan harga jualan syarikat kenderaan kepada pengedar tempatan meningkat.

"Mereka mahukan jumlah keuntungan atau profit margin yang sama juga," ujar beliau.

Beliau turut menambah bahawa kerana itu, adalah lebih murah untuk melakukan projek CKD atau memasang kenderaan di dalam negara, "Cuma ia perlu berskala besar kerana modal yang diperlukan untuk memasang satu model di dalam negara boleh mencecah puluhan juta RM".

 

BMW plant in Kulim, Malaysia

 

Mungkin kerana itu ada banyak program CKD dijalankan di Malaysia (gambar atas, projek CKD BMW di Kulim, Kedah) dan insentif yang diberikan untuk projek CKD sangat tinggi serta mampu menjadikan harga kenderaan lebih kompetitif.

Paling penting, ia mengimarahkan lagi industri automotif agar ribuan pekerja dan syarikat vendor serta media automotif seperti Careta terus berkembang.

Add new comment

Careta Ad