Kenapa kerajaan perlu lanjutkan Pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) hingga akhir tahun ini

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi kenderaan dilihat wajar dilanjutkan sehingga akhir tahun ini bagi menyokong permintaan di tengah-tengah kekangan bekalan cip semikonduktor yang memberi kesan kepada pengeluaran kenderaan, demikian menurut pakar dan peserta industri.


Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata dengan keadaan ekonomi yang dilanda tekanan inflasi dan kos sara hidup yang semakin meningkat, permintaan untuk melanjutkan pengecualian cukai itu boleh dipertimbangkan oleh kerajaan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Beliau berkata, mutakhir ini, kerajaan memberi gambaran bahawa cukai yang lebih cekap dan telus daripada SST, iaitu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan diperkenalkan semula.

 

"Justeru, kerajaan boleh mempertimbangkan pengecualian SST supaya peserta industri dapat bersedia untuk penghapusan sistem cukai dan seterusnya beralih semula kepada sistem GST di masa hadapan," katanya kepada BH.

 

Inisiatif pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis pemasangan tempatan (CKD) dan model import sepenuhnya (CBU) diperkenalkan oleh kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun 2020.

 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pula berkata pengecualian SST menyaksikan jualan kenderaan semakin meningkat.

gambar hiasan

 

Namun, dalam masa sama, beliau berkata kerajaan perlu cakna keperluan untuk memelihara kedudukan kewangan kerana suasana ekonomi yang tidak menentu.

 

"Justeru, kerajaan perlu meletakkan keutamaan dengan betul supaya pengurusan ekonomi akan menjadi lebih bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan, terutama risiko kelembapan ekonomi global akibat daripada peningkatan kadar faedah di negara maju, dasar COVID-19 sifar di China yang mengganggu rantaian perniagaan global serta perang di Ukraine yang menimbulkan kesan ketara kepada harga komoditi utama," katanya.

 

Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff pula berpandangan, tempoh pengecualian SST bagi kenderaan sehingga hujung bulan ini dilihat memadai dan seharusnya membenarkan pasaran ditentukan oleh permintaan dan penawaran tanpa campur tangan daripada kerajaan.

 

Namun, beliau berkata, mengambil kira faktor luar kawalan seperti pengeluaran kenderaan terjejas berikutan masalah kekurangan bekalan yang menyebabkan pembeli menunggu lama untuk mendapatkan kenderaan, adalah wajar pengecualian SST bagi kenderaan dilanjutkan.

 

"Mungkin kes sebegini (gangguan bekalan) boleh diberi pengecualian kerana pembeli sudah lama membuat tempahan tetapi disebabkan faktor luar kawalan, mereka masih lagi belum mendapat kereta," katanya.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd (PROTON), Roslan Abdullah, berpandangan pengecualian SST bagi kenderaan terbukti boleh merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui sektor automotif.

 

Beliau berkata, ia dilihat akan memberikan kesan positif kepada banyak pihak dan bukan hanya pengeluar kenderaan sebagai contoh vendor komponen kenderaan, institusi kewangan, pengamal insuran dan sebagainya.

 

Selain itu, katanya, ia turut memberikan peluang bagi pelanggan yang telah membuat tempahan kenderaan dengan harga tanpa cukai untuk memiliki kenderaan pada harga lebih mampu milik.

 

"Skim PENJANA dengan pengecualian cukai jualan telah memberikan penjimatan ketara bagi harga kenderaan, dan ini telah menyebabkan permintaan terhadap kenderaan baharu bertambah.

 

"Bagaimanapun, kejadian banjir kilat pada akhir tahun lalu telah merencatkan pengeluaran komponen kenderaan apabila vendor juga turut terjejas.

 

"Ini ditambah pula dengan kekurangan cip semikonduktor yang secara langsung menjejaskan pengeluaran kenderaan bagi suku pertama 2022," katanya.

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Susulan pendaftaran SST dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, kami akan mula mengenakan SST pada…
Berita Domestik
Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Jim Lim Khai Xhiang, berkata industri automotif ketika ini…
Berita Domestik
Namun disebabkan masalah kekurangan cip semikonduktor yang masih lagi belum reda, sebanyak 264,000…