Perkara ini menimbulkan satu persoalan iaitu kenapa sistem turbo menjadi pilihan? Bukankah sistem turbo menyumbang kepada pencemaran alam sekitar? Penggunaan bahanapi yang tinggi? Ketahanan yang diragukan?
Hari ini kita mengupas setiap satu persoalan ini.
Pertama sekali adalah isu ketahanan atau bahasa inggerisnya "Reliability". Umum mengetahui enjin yang dilengkapi dengan sistem turbo adalah lebih kompleks. Lebih kompleks bermaksud enjin tersebut dilengkapi dengan lebih komponen serta lebih tekanan sekaligus menyebabkan jangka hayat komponen-komponen di dalam enjin lebih pendek.
Hal ini sebenarnya sudah diselesaikan apabila pihak pengeluar mengambil inisiatif dengan melabur begitu banyak wang untuk proses R&D terhadap material yang digunakan.
Hasilnya, dengan penggunaan material yang lebih lebih baik, enjin yang dihasilkan adalah lebih tahan untuk digunakan dalam jangkamasa yang lama. Sebagai contoh, Ford EcoBoost 1.0L Engine merangkul gelaran International Engine of the Year sebanyak 10 kali. Sekiranya tidak lasak, mustahil mereka mampu merangkul gelaran ini.
Namun, sepertimana yang diterangkan di atas, kos pembangunannya tidaklah murah dan sangat mahal. Ini lah harga yang perlu dibayar untuk teknologi serta evolusi.
Kedua kita jawab pula persoalan tentang "kebersihan".
Enjin turbo yang lama gagal menepati piawaian kawalan emisi antarabangsa. Disebabkan piawaian yang ketat terutamanya di Eropah, pihak pengeluar sekali lagi melabur dengan jumlah yang banyak bagi membangunkan enjin yang bersih tanpa mengenepikan aspek kuasa. Kalau tak berkuasa, siapa yang beli kan ?
Antara teknik yang digunakan adalah dengan menggunakan "Catalytic Converter" yang diperbaharui iaitu daripada jenis "Two-Way" kepada "Three-Way" yang lebih efektif.
Seterusnya adalah dengan menggunakan sistem "Direct Injection". Sistem ini berfungsi dimana pancitan bahanapi disalurkan terus ke kebuk pembakaran (Combustion Chamber).
Kelebihan sistem ini adalah ia mampu meningkatkan "Volumetric Effeciency" dan meningkatkan prestasi enjin. Kelebihan ini pula secara automatik menyumbang kepada penggunaan bahanapi yang optimum dan merendahkan emisi gas ekzos.
Talaan juga memainkan peranan penting dimana pihak pengeluar menala setiap enjin mereka pada kadar "Leanest As Possible" tanpa menjejaskan komponen-komponen enjin. Proses ini adalah sangat rumit kerana sedikit kesilapan sahaja akan mengakibatkan kerosakan yang teruk kepada enjin.
Sebagai contoh seperti apa yang berlaku pada enjin Volkswagen EA211 1.4 TSI dimana sesetengahnya mempunyai isu piston retak dan cair. Sama ada masalah talaan atau material masih diperdebatkan sehingga sekarang. Namun, ketika tiada masalah, enjin ini sangat berkuasa dan penggunaan bahanapinya adalah pada kadar yang sangat menjimatkan.
Dapat dirumuskan disini faktor utama yang menjadikan enjin turbo generasi terbaru lebih lasak dan bersih berbanding enjin turbo generasi lama adalah seperti berikut :-
- Material komponen dalaman enjin
- Penggunaan "Catalytic Converter" yang baru
- Sistem bahanapi "Direct Injection"
- Talaan
Nampak mudah bukan, namun untuk mencapai tahap sekarang, berbilion-bilion wang tunai dilaburkan untuk proses R&D.
Sekarang kita lihat kebanyakan pengeluar sudah beralih dari enjin NA ke enjin turbo. Tak perlu lihat jauh, produk tempatan Proton dan Perodua pun turut menggunakannya.
Dengan penggunaan enjin bersesaran rendah bersama sistem turbo, antara kelebihan yang diperolehi adalah seperti berikut :-
- Kuasa yang optimum
- Penggunaan bahanapi yang rendah
- Kos penjagaan yang rendah
- Pencemaran emisi yang rendah
- Kos cukai jalan yang rendah
Ye Tuan-Tuan. Kos cukai jalan tu sebenarnya memainkan peranan penting di Malaysia ini. Kalau dulu, nak jentera berkuasa kena beli jentera yang mempunyai enjin besar. Sekarang tidak lagi.
Sekiranya dulu enjin turbo hanya untuk jentera berprestasi tinggi, sekarang tidak lagi. Semua mampu untuk merasai teknologi ini. Antara jentera mampu milik yang boleh diberi perhatian adalah seperti berikut :-
- Perodua Ativa 1.0L
- Proton X50 1.5L
- Honda Civic 1.5L
- Nissan Almera 1.0L
Diantara model-model diatas. Perodua Ativa dan Nissan Almera berada di dalam kategori murah. Hal ini disebabkan enjinnya tidak menggunakan sistem "Direct Injection". Walaupun begitu, ia masih mampu memberikan penjimatan bahanapi yang optimum disebabkan sesarannya yang rendah. Dan yang paling penting, ia tetap berkuasa dengan nilai kuasa lingkungan 100hp.
Disini kita berikan perhatian sedikit tentang teknologi enjin 1KR-VET yang ada pada Perodua Ativa.
Untuk menjimatkan kos, enjin ini masih menggunakan "Port Injection" dimana kosnya lebih murah berbanding "Direct Injection". Namun ditambah baik dengan menggunakan sistem "Dual Intake Ports". Hal ini bermakna enjin ini mempunyai 6 "Intake Ports" bersama 6 unit "Injector".
Sistem ini menyebabkan proses "atomisation" bertambah baik sekaligus meningkatkan kebolehupayaan pembakaran. Hasilnya? Meningkatkan kuasa dan mengoptimumkan penggunaan bahan api.
Selain itu, enjin ini menerima sistem "Multi-Spark Ignition". Ia tidak menggunakan dua "Spark Plug" pada satu silinder seperti Honda i-DSI mahupun Alfa Romeo Twin Spark. Tetapi, "Spark Plug" diprogramkan utk memercikkan api pada kadar yang sangat cepat dan dikawal secara elektronik oleh ECU.
Percikan pertama dilakukan untuk memulakan pembakaran dan percikan kedua dilakukan untuk menyempurnakan pembakaran supaya tiada campuran bahan api yang tersisa ketika proses pembakaran.
Kompleks bukan? Namun dengan sistem ini boleh anda nikmati dengan harga yang sangat berpatutan pada Perodua Ativa. Terima kasih pada kepesatan evolusi teknologi. Faktor ketahanan? Jangan risau. Baka enjin ini dari Toyota yang sangat menitikberatkan aspek ketahanan di dalam setiap produk enjin mereka.
Akhir kata, enjin turbo adalah lebih mudah dinaiktaraf kuasanya dengan hanya melalui proses talaan. Peningkatan kuasa sebanyak 20%-30% adalah sesuatu yang tidak mustahil. Cuma penambahan kuasa akan menambahkan tekanan kepada enjin dan juga sistem transmisi. Ia juga akan meningkatkan penggunaan bahanapi serta meningkatkan pencemaran emisi.
Sebaiknya berbincang dahulu dengan yang pakar sebelum membuat apa-apa modifikasi. Kalau taknak pening kepada, kekalkan "stock".
Penulis: Ahmad Omar