KENAPA DAYA KILAS ENJIN DIESEL JAUH LEBIH TINGGI BERBANDING ENJIN PETROL

oleh Contributor|
Enjin Diesel moden semakin menjadi pilihan para pengeluar kenderaan untuk diaplikasikan pada kenderaan penumpang seperti MPV dan SUV. Hal ini kerana keupayaannya menghasilkan daya kilas (Torque) yang tinggi.

Kenderaan jenis MPV dan SUV cenderung untuk membawa muatan berat seperti jumlah penumpang yang banyak. Oleh itu, faktor daya kilas yang tinggi menjadi sebab utama enjin diesel menjadi pilihan.

Hari ini kita akan membincangkan kenapa dan bagaimana enjin diesel boleh menghasilkan daya kilas yang tinggi berbanding enjin petrol.

 

Nisbah Mampatan Tinggi

Nisbah Mampatan atau "Compression Ratio" bermaksud nisbah diantara isipadu silinder dan kebuk pembakaran di dalam enjin pembakaran dalam pada nilai maksimum dan minimum.

Enjin diesel mempunyai nisbah mampatan yang lebih tinggi berbanding enjin petrol. Ini disebabkan sistem penyalaan enjin diesel menggunakan sistem penyalaan mampatan. Oleh yang demikian, ia memerlukan mampatan yang tinggi bagi membolehkan bahanapi terbakar.

Mampatan yang tinggi pula menghasilkan tekanan yang lebih tinggi didalam kebuk pembakaran sekaligus menghasilkan lebih kuasa untuk menolak piston kebawah dan menghasilkan daya kilas yang tinggi. 

Sebagai perbandingan, enjin Kia Sportage Diesel 2.0L GT Line mempunyai nisbah mampatan pada kadar 16.0:1. Enjin Range Rover Evoque Si4 2.0L pula mempunyai nisbah mampatan pada kada 10.0:1.

 

Kelajuan Pembakaran


Faktor kedua adalah kelajuan pembakaran. Enjin petrol mempunyai lejang kuasa atau "Power Stroke" dimana ketika lejang ini, Palam pencucuh menyalakan campuran udara dan bahanapi dan kemudiannya terbakar lalu menolak piston kebawah. Namun proses ini mengambil sedikit masa kerana keperluan palam pencucuh untuk menyala.

Operasi enjin diesel pula tidak memerlukan palam pencucuh untuk membakar bahanapi. Ia akan terbakar dengan sendirinya ketika dimampatkan sekaligus proses pembakarannya lebih cepat. Matematiknya, lebih cepat, lebih daya kilas dihasilkan.

 

Nilai Lejang

Nilai Lejang atau "Stroke" enjin diesel adalah lebih panjang dari enjin petrol. Kita ambil contoh enjin diesel Kia DH4A 2.0L yang terdapat pada Kia Sportage GT Line Diesel mempunyai nilai lejang sepanjang 90mm. Untuk perbandingan, enjin petrol Ford EcoBoost 2.0L GTDi yang terdapat pada Range Rover Evoque Si4 mempunyai nilai lejang sepanjang 83.1mm.

Perbezaan ini sangat signifikan didalam penghasilan daya kilas yang tinggi. Disebabkan itu juga, enjin diesel dapat menghamburkan daya kilas yang tinggi ketika di RPM rendah berbanding enjin petrol. Secara asasnya, lagi tinggi "Stroke", lagi tinggi daya kilas. 

Sebagai perbandingan juga, Kia Sportage GT Line Diesel menghasilkan daya kilas sekuat 400Nm pada 1,750rpm. Range Rover Evoque Si4 menghasilkan daya kilas sekuat 338Nm pada 1,750rpm. Beza 62Nm disitu.

 

rnginer

 

Sistem Turbo

 


Enjin diesel moden kebanyakannya dilengkapi dengan sistem turbo. Ia bertujuan untuk membolehkan enjin menghamburkan lebih kuasa seiring dengan daya kilas. 

Disebabkan enjin diesel boleh menerima tekanan yang tinggi, ia tidak mempunyai masalah untuk menerima sistem pendesak turbo. Disebabkan itu juga, tetapan talaan dari pihak pengeluar membenarkan "Boost" lebih tinggi dibekalkan kepada enjin. Nilai "Boost" yang tinggi semestinya akan membuatkan pembakaran menjadi lebih kering atau "Lean"

Apabila "Lean", lebih banyak haba akan terhasil dan kebuk pembakaran dan silinder akan menjadi lebih panas. Namun itu yang diperlukan oleh enjin diesel kerana konfigurasi pembakarannya memerlukan tekanan dan juga haba. Apa yang dirisaukan oleh enjin petrol menjadi faktor yang lebih baik untuk enjin diesel. Kalau enjin petrol, pembakaran yang terlalu "Lean" akan menyebabkan komponen seperti piston cenderung untuk cair.

Tidak untuk enjin diesel, binaan serta material yang digunakan cukup kuat untuk menerima tekanan dan haba sebegitu rupa. Kebiasaannya nilai "Boost" pada enjin diesel moden adalah dalam lingkungan 2 bar. Tinggi tu Tuan-Tuan.

 

Bahanapi


Faktor bahanapi merupakan faktor ke-5 kenapa enjin diesel mampu menghasilkan lebih daya kilas berbanding enjin petrol. Hal ini kerana diesel mengandungi nilai "Calorific Value" yang lebih rendah berbanding petrol.

"Calorific Value" bermaksud nilai haba dan tenaga yang mampu dihamburkan berkadaran dengan udara (oksigen). Nilai "Calorific Value" diesel berapa pada kadar 45,500kj/kg dan petrol berada pada kadar 45,800kj/kg. Secara logiknya, sepatutnya petrol menghasilkan lebih tenaga.

Namun tidak begitu Tuan-Tuan, hal ini kerana isipadu diesel adalah lebih padat berbanding petrol. Ini bermakna, 1 liter diesel mampu menghasilkan lebih tenaga berbanding 1 liter petrol. Ditambah pula dengan 4 lagi faktor diatas, cukup syarat untuk menyatakan bahawa enjin diesel menghasilkan lebih daya kilas berbanding petrol.

Jadi Tuan-Tuan. Ini lah 5 faktor utama kenapa enjin diesel menghasilkan lebih daya kilas berbanding enjin petrol. Dan faktor ini juga mendoring para pengeluar untuk menggunakan enjin diesel pada kenderaan penumpang.

Antara kenderaan penumpang moden yang menggunakan enjin diesel adalah seperti berikut :-

-    KIA Sportage GT Line 2.0L 
-    KIA Sorento 2.2L
-    KIA Grand Carnival 2.2L
-    Mazda CX5 2.2L
-    Mazda CX8 2.2L
-    BMW G30 520d
-    BMW F30 320d
-    Range Rover Sport L494 TDV6/SDV6
-    Range Rover Vogue L405 TDV6/SDV6

Jadi Tuan-Tuan, sebenarnya tak usah risau dengan keupayaan serta ketahanan enjin diesel. Kepesatan teknologi telah banyak membantu pengeluar membangunkan enjin diesel berkualiti. Akses terhadap bahanapi pun semakin mudah dicapai.

Diesel Euro 5 sekarang mudah didapati di setiap negeri di Malaysia. Bukan itu sahaja, dengan bantuan teknologi, enjin diesel moden juga lebih bersih dan mesra alam berbanding enjin petrol.

 

Penulis: Ahmad Omar

Penulis merupakan seorang pengarah urusan pusat servis kenderaan. Beliau berpengalaman bertugas sebagai mekanik, penasihat teknikal dan pengurus pemasaran di dalam dan luar negara. Beliau juga berpengalaman di dalam mengendalikan jentera-jentera mewah dari Itali, Jerman, UK dan Jepun.

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Tak semua ada kereta pada waktu itu, jadi van dengan bilangan tempat duduk yang banyak adalah…
Berita Domestik
Diesel yang dijenamakan sebagai Petronas Dynamic Diesel Euro 5 dengan Pro-Drive, ditawarkan dengan…
Berita Domestik
Bahan bakar baharu yang lebih mesra alam ini menghasilkan pelepasan asap dengan kandungan sulfur…