Kenapa Civic e:HEV sudah game lain!

oleh Firdaus Razani|
Selalunya, kenderaan hibrid lebih kepada penjimatan bahan api dan prestasi jarang diketengahkan.

Namun begitu, pendekatan Honda untuk sistem hibrid e:HEV mereka pada Civic ini sedikit berbeza, penekanan terhadap prestasi turut dibabitkan dan pada mulanya, penulis merasakan ini cuma satu taktik pemasaran tetapi selepas mencuba Civic e:HEV RS acapkali dalam masa setahun ini, terbukti memang ada kaitan dengan prestasi.
civic

 

Pertama, Civic menerima varian paling berkuasa di mana ia menggabungkan prestasi daya kilas yang tinggi dari motor elektrik dan tenaga berterusan pada kelajuan tinggi dari enjin petrol 2.0-liter tersebut.

Enjin yang menggunakan kitaran Atkinson itu bukan hanya menjadi generator untuk memberi bekalan elektrik kepada bateri 1.05 kWh dengan 72 sel sahaja tetapi ia turut memberikan tenaga secara terus kepada roda untuk pemanduan pada kelajuan tinggi.

 

civic

 

Enjin itu sahaja menghasilkan 143 PS dan 189 Nm, dan ia akan membekalkan tenaga terus kepada roda pada kelajuan 70 kmsj. Di bawah paras kelajuan itu, roda menerima tenaga dari motor elektrik dan enjin dihidupkan untuk tugas sebagai sebuah generator sahaja.

Ini menjadikan Civic e:HEV RS ini terasa mudah untuk dipacu pada kelajuan rendah - sama seperti apa yang dilakukan oleh Volvo pada sistem hibrid T8 mereka. Bezanya ialah sistem pada Volvo itu dua kali ganda lebih mahal dari apa yang ada pada Honda dan bateri pada Volvo itu juga jauh lebih besar, menjadikan sistemnya lebih berat dan kompleks.

Motor elektrik pada Civic e:HEV RS ini menghasilkan 184 PS dan 315 Nm dari 0 rpm sehingga 2,000 rpm, menerusi transmisi E-CVT. Benar, Civic hibrid ini lebih berat berbanding dari Civic dengan enjin turbo tetapi prestasi dan penjimatannya jauh lebih baik. 

 

civic

 

Satu lagi bidang di mana kecemerlangan Civic ini dikekalkan ialah ciri-ciri pengendalian Civic FE tersebut. Ya, hibrid ini jauh lebih berat tetapi agihan berat antara depan dan belakang dilakukan dengan imbangan 50:50 agar ia neutral.

Sistem gantungan juga dipertingkatkan selari dengan penambahan berat e:HEV RS ini dan apa yang kita dapat ialah sebuah kenderaan yang lebih pantas, lebih jimat dan lebih berat tetapi masih kekal sporti bila dihenyak di selekoh-selekoh!

 

 

civic

 

Dari segi kabin pula, Honda percaya peminat mereka mahukan sesuatu yang bergaya dan ruang dalam Civic ini tidak mengecewakan. Ia jelas sporti tetapi tidak terlalu remaja. Campuran plastik dan kulit juga tidak nampak kemurahan.

 

civic

 

Paparan meter juga menggunakan skrin LCD berwarna sepenuhnya bersaiz 10.2 inci, menambahkan lagi nilai sedan ini. 

Skrin sesentuh utama sebesar sembilan inci itu pula menggunakan aplikasi Google sepenuhnya, bermakna pemilik boleh memuat turun pelbagai jenis aplikasi seperti YouTube, Spotify, Google Map dan sebagainya. 

 

civic

 

Jika mahu menggunakan Android Auto atau Apple CarPlay, sambungan tanpa wayar disediakan. Telefon pintar juga boleh dicas menggunakan pengecas tanpa wayar. 

Honda juga menyediakan kunci jenis kad pintar yang boleh disimpan di dalam dompet, sesuatu yang hanya terdapat untuk varian e:HEV. Selain dari itu, Civic varian ini juga menerima sistem pendingin hawa dua zon dengan corong udara untuk penumpang belakang dan penghidup enjin kawalan jauh.

 

civic

 

Untuk mereka yang mahukan sebuah sedan berprestasi tinggi tetapi kekal selesa, menjimatkan dan berbaloi dengan nilai wang, tak salah lagi, memang Civic ialah pilihan jelas, terutama varian e:HEV ini.

Untuk ketahui maklumat lebih lanjut mengenai Honda Civic e:HEV RS ini, layari pautan web di sini; https://www.honda.com.my/model/civic