Kenali Nissan Pathfinder dari generasi pertama, bermula dengan 2 pintu!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Nissan Pathfinder generasi pertama
Nissan Pathfinder generasi pertama
Kenderaan utiliti sukan (SUV) yang begitu banyak di atas jalan raya bukan bermula beberapa tahun kebelakangan ini.

SUV boleh dijejaki puluhan tahun lalu dan boleh dikatakan bermula sebagai jip lasak dan bersifat utilitarian.

Di antara SUV yang sudah menjangkau usia puluhan tahun ialah Nissan Pathfinder dan kini berada di dalam generasi kelima.

Pathfinder generasi pertama dikeluarkan pada 1986 dan menariknya sebagai SUV dua pintu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Nissan Terrano 4Door Turbo Wide R3M AJ Limited 1993

 

Muka depan mengingatkan kepada Terrano dan nama tersebut sebenarnya diguna di pasaran lain termasuk model empat pintu di Jepun dan Malaysia.

Selain Amerika Syarikat, Pathfinder juga mayshur di Timur Tengah melihatkan kepada badannya yang besar dan begitu juga sesaran enjin.

Nissan Pathfinder generasi pertama

Pathfinder diperkenal pada 1986 sebagai model 1987 dengan gaya berkotak.

Muncung depan mempunyai tiga bukaan melintang dan sama seperti pikap Hardbody yang Nissan gunakan sebagai asas.

 

Nissan Terrano generasi pertama 1986

 

Perhatikan juga model empat pintu Terrano, pembuka pintu dibuat pada bucu cermin dan menjadi trend pada hari ini!

Pathfinder menggunakan pelantar badan di atas rangka (body-on-frame) yang jarang ditemui pada SUV hari ini kecuali beberapa model yang berkongsi pelantar dengan pikap.

Binaan jenis itu lebih tahan lasak. Ruang dalaman Pathfinder juga luas dan selesa.

Pada 1990 Nissan menambah dua pintu di belakang dan seperti yang dikatakan mempunyai pembuka pintu yang tersorok pada tiang C.

 

Nissan Terrano generasi pertama 1986

 

Nissan Pathfinder generasi kedua

Pada 1986, Nissan menggunakan pelantar unibody dan rekaan yang lebih aerodinamik.

Gaya baharu turut digabung bersama pemanduan dan pengendalian lebih baik dan pakej yang dipersembahkan Nissan berjaya di dalam menarik perhatian dan jualan.

Pada era ini juga menyaksikan peralihan gaya lasak kepada urban. Lima tahun kemudian Pathfinder dilengkapi enjin VQ 3.5 liter V6 buat kali pertama.

 

Nissan Pathfinder generasi kedua

 

Siri enjin VQ banyak berjasa buat Nissan dan memenangi berbelas pengiktirafan Ward's 10 Best Engines.

Selain itu, Pathfinder juga dilengkapi sistem navigasi dan paparan tiga dimensi Birdview.

Nissan Pathfinder generasi ketiga

Model ini pertama kali diperkenal di peringkat dunia pada Pameran Kenderaan Antarabangsa Amerika Utara 2004.

Menariknya, Pathfinder kembali menggunakan binaan badan atas rangka yang diubah suai daripada pelantar F-Alpha.

 

Nissan Pathfinder generasi ketiga

 

Jika Pathfinder pertama mengingatkan kepada Terrano, model terbaru ini membawa imej ala Navara atau Frontier. Pelantar F-Alpha tersebut memang digunakan untuk Navara.

Pathfinder generasi ketiga juga dilengkapi tiga baris tempat duduk dan model pertama yang boleh memuatkan tujuh penumpang.

Nissan Pathfinder generasi keempat

Pada 2013, Pathfinder sekali lagi berubah arah dengan membawa gaya, keselesaan, penjimatan bahan api dan teknologi.

Penggunaan pelantar unibody memberi beberapa faedah seperti lantai rata, dalaman serta ruang barangan lebih luas.

 

Nissan Pathfinder generasi keempat

 

Pathfinder dibekal enjin 3.5 liter V6 yang menghasilkan 271 kuasa kuda (hp) dan dipadan bersama transmisi CVT Xtronic dengan 30 penjimatan bahan api berbanding model sebelum.

Pathfinder turut menjadi pentas Nissan memperkenalkan EZ Flex™ Seating System. 

Bersama fungsi LATCH AND GLIDE™, kerusi boleh dianjak ke depan untuk laluan ke baris ketiga dalam keadaan kerusi keselamatan kanak-kanak kekal terpasang.

Nissan Pathfinder generasi kelima

 

Nissan Pathfinder generasi kelima

 

Model terbaru yang berada di Amerika Syarikat dan Timur Tengah sekarang diperkenal pada 2021.

Berbekal usia lebih tiga dekad, Pathfinder membawa adunan gaya berkotak, moden dan ringkas.

Bandingkan dengan keempat generasi sebelum ini dan anda boleh lihat bagaimana sejarah membentuk model terbaru ini.

 

Nissan Pathfinder generasi kelima

 

Enjin 3.5 liter V6 mengeluarkan 284 hp dan Nissan turut memperkenal kotak gear sembilan kelajuan. Selain pacuan empat roda, Pathfinder turut ditawarkan dalam pilihan dua roda. 

Bahagian dalam boleh memuatkan sehingga lapan penumpang dan turut dilengkapi kerusi kapten baharu.

Papan pemuka diberi paparan digital 12.3 inci dan turut dilengkapi sistem papar pandu (HUD) 10.8 inci.

 

Nissan Pathfinder generasi kelima

 

Di Timur Tengah yang menyaksikan permintaan semakin meningkat, ada enam varian Pathfinder ditawarkan kepada pelanggan.

Satu lagi yang menarik, Nissan mempertontonkan Pathfinder Concept dengan rekaan depan menyerlah di Pameran Kenderaan Shanghai 2023.

Adakah ini pengganti Pathfinder? Belum pasti dan Nissan memaklumkan model konsep yang ditunjukkan itu direka mengikut pasaran China.

Penulis: Muhammad Md Tajudin / Gambar: Nissan

 

Nissan Pathfinder Concept