
VW melengkapinya pada model elektrik ID.3 dan ID.4 seterusnya menjadi pengeluar pertama di dunia yang memperkenalkan teknologi ini pada segmen kenderaan kompak dan memperluaskan penggunaannya.
Ini adalah sebahagian dari strategi VW bagi menawarkan kelengkapan teknologi tinggi pada harga mampu milik.
Apa pula yang dimaksudkan dengan AR HUD?
VW menggabungkan dunia maya dan realiti dengan melakukan pertindihan (superimpose) objek terpilih dari dunia sebenar dan memaparkannya secara maya.
Dua paparan, satu besar, satu kecil

AR HUD memaparkan maklumat penting pada cermin depan dan dipisahkan kepada dua bahagian dan tahap.
Bahagian besar untuk paparan dinamik (animasi/hidup) iaitu pada lingkungan pandangan pemandu dengan jarak maya sekitar sepuluh meter dan ukuran pepenjuru (diagonal) sekitar 1.8 meter.
Maklumat yang dipaparkan ialah dari sistem bantuan pemanduan, penunjuk arah selekoh, lokasi mula dan destinasi dari sistem navigasi.
Bahagian satu lagi lebih kecil iaitu di bawah tetingkap besar yang memaparkan kelajuan, isyarat jalan raya, simbol bantuan pemanduan dan navigation dalam imej statik.
Imej tersebut dipaparkan secara terapung pada jarak sekitar tiga meter di depan pemandu.
Cara mudah untuk bayangkan sistem ini ialah ibarat permainan video yang mempunyai pelbagai maklumat grafik pada skrin peranti.
Berfungsi secara pintar

Grafik yang dipaparkan diselarikan dengan sempurna mengikut realiti di luar kenderaan dan ditayangkan secara animasi.
Apabila kenderaan menghampiri simpang untuk membelok seperti laluan navigasi, pemandu akan melihat dua indikator.
Pertama, makluman awal mengenai jarak jalan dan kemudian tiga anak panah pada simpang. Semakin dekat dengan simpang, anak panah tersebut juga semakin membesar.
Adakah ia menggangu? Tidak semestinya kerana grafik tersebut akan dipudarkan bagi memberi pandangan lebih jelas.
Semasa membangunkan sistem ini, VW menggunakan kaedah less is more agar pemandu tidak terlalu diganggu oleh paparan animasi tersebut.
Pesanan dan amaran

Fungsi Bantuan Susur (Lane Assist) juga dipaparkan pada tetingkap lebih besar. Garisan oren akan dipaparkan apabila kenderaan menghampiri garisan sempadan tepi jalan raya tanpa isyarat atau indikator diaktifkan.
Dua garisan hijau akan dipaparkan apabila Bantuan Susur diaktifkan bagi mengekalkan kenderaan di tengah laluannya.
Apabila mengikuti kenderaan di hadapan dan Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) atau Bantuan Perjalanan (Travel Assist) diaktifkan, garisan berwarna yang menandakan kenderaan itu akan dipaparkan sebagai rujukan pemandu.
Apabila fungsi bantuan pemanduan dipadamkan, isyarat amaran berwarna merah akan dikeluarkan apabila pemandu berada terlalu dekat dan merbahaya pada kenderaan di hadapan.
Bagaimana VW buat?

Nadi teknikal kepada AR HUD adalah satu komponen yang dipanggil unit penghasilan gambar (picture generation unit/PGU) dan terletak di dalam panel pemuka.
Pancaran pada cermin depan adalah dari paparan LCD yang sangat terang dan dihantar kepada dua cermin rata dan lensa khas yang memisahkannya kepada dua bahagian iaitu tetingkap besar dan kecil.
Cermin rata tersebut akan memantulkan pancaran kepada cermin cekung (concave) saiz besar dengan larasan elektrik.
Dari situ, paparan ditayangkan pada cermin depan dan pemandu dapat melihat simbol atau objek dengan jelas seperti realiti pada jarak sekitar sepuluh meter.
Imej yang dihasilkan dari penjana AR terletak pada satu dari dua komputer pusat VW ID. Penjana AR membuat kiraan kedudukan objek atau simbol berdasarkan keadaan sekeliling.
Bagi membuat kiraan tersebut, pelbagai perkakasan dan perisian memberi input seperti kamera depan, sensor radar dan peta navigasi.
Pandu dengan animasi

Adakah teknologi ini membantu? Semestinya kerana pemandu tidak perlu lagi mengalihkan pandangan pada meter tradisional atau skrin pada papan pemuka.
Maklumat penting dipaparkan pada cermin depan dan ia memudahkan. Mungkin berasa janggal pada peringkat dan lama kelamaan akan terasa sebati.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
