Kenali enjin VW 1.0L dan 1.5L TSI evo, model sebesar Passat pun guna!

oleh Muhammad Md Tajudin|
1.5 eTSI berkuasa 150 PS
1.5 eTSI berkuasa 150 PS
Kebelakangan ini enjin tiga silinder menjadi perbualan hangat di kalangan peminat dunia automotif.

Penggunaan teknologi tiga silinder sebenarnya sudah lama dan diberi nafas baharu dan kembali menjadi pilihan pengeluar kereta dunia.

Turut menjadi perbualan ialah bagaimana pengeluar menggunakan enjin kecil bersesaran 1.0 liter dan 1.5 liter turbo untuk kenderaan mereka.

Di antara pengeluar yang menggunakan nadi kecil ialah Volkswagen melalui siri enjin TSI evo bersesaran 1.0 liter dan 1.5 liter.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Volkswagen up! GTI 2018

Menariknya kedua-dua enjin itu digunakan pada hampir semua model VW dari sekecil up! GTI kepada Passat, T-Cross dan Tiguan. 

Enjin itu mempunyai dua jenis iaitu tiga silinder dan empat silinder. Di bawah kami senaraikan ciri-ciri enjin TSI evo Volkswagen.

Makna di sebalik TSI

Menurut Dr Frank Welsch, Ahli Lembaga Pengurusan yang bertanggungjawab untuk Pembangunan Teknikal di Volkswagen, TSI bermaksud turbocharged stratified injection atau kombinasi pengecas turbo dan pancitan terus (direct injection).

 

VW Golf SE EVO 1.5 TSI 2017
VW Golf SE EVO 1.5 TSI 2017

 

Tambah beliau lagi, VW telah mempunyai 15 tahun pengalaman dalam membina enjin kompak TSI dan secara konsisten menambah baik dengan teknologi baharu.

1.5 eTSI pada Volkswagen Golf

Enjin TSI evo mempunyai varian tiga silinder dan empat silinder dengan kuasa 90 PS atau 150 PS. Untuk VW Golf, enjin 1.0 eTSI digabungkan dengan sistem hibrid sederhana (mild hybrid). 

Nadi tersebut mempunyai kuasa 110 PS dan tork 200 Nm di antara 2,000 rpm dan 3,000 rpm.

Enjin tiga silinder itu membantu Golf untuk memecut sehingga 202 km/j dan hanya menggunakan secara purata 4.5 liter hingga 4.3 liter petrol setiap 100 km (bergantung kepada kelengkapan) mengikut standard NEDC.

Dari enjin EA 211 kepada EA 211 evo

EA211 1.5 TSI evo 2016
EA211 1.5 TSI evo 2016

 

Enjin 1.5 TSI dan 1.0 TSI berasal dari keluarga enjin EA 211 yang diperkenalkan pada Golf Mk7 pada tahun 2012.

Pada tahun 2016 dan 2017, enjin empat silinder diperbaharui sepenuhnya manakala enjin 1.4 liter dan 1.2 liter diselaraskan kepada enjin 1.5 liter. 

Pembaikan yang dibuat turut diintegrasikan kepada enjin 1.0 liter tiga silinder pada tahun 2019.

TGI 1.5 Evo
TGI 1.5 Evo

 

Sejak pembaharuan tersebut kedua-dua enjin 1.5 liter dan 1.0 liter dinamakan sebagai EA 211 TSI evo.

Dengan hanya dua sesaran iaitu 999 cc dan 1,498 cc, kedua-dua jenis enjin itu mempunyai julat kuasa seperti berikut:

  • 1.0 TSI: 90 PS dan 115 PS
  • 1.5 TSI: 130 PS dan 150 PS

Untuk Polo dan Golf, kedua-dua model tiga dan empat silinder turut direka untuk beroperasi dengan gas asli atau dikenali sebagai enjin TGI.

Di dalam siri keluarga Golf, kedua-dua enjin dipadan bersama sistem hibrid sederhana 48 volt. Kombinasi ini mengurangkan penggunaan bahan api dan meningkatkan kuasa enjin.

 

Volkswagen Golf 1.5 eTSI

 

Meningkatkan proses pembakaran Miller

Bergantung kepada jumlah silinder dan kelas kuasa, enjin TSI evo menggabungkan beberapa komponen teknologi yang berbeza. 

Enjin TSI evo empat silinder (130 PS) dan tiga silinder menggunakan proses pembakaran kitaran Miller dan impaknya pada pengurangan bahan api. 

Ini dicapai melalui penutupan awal injap salur kemasukan (inlet) seterusnya mengurangkan throttling losses (tambahan usaha untuk menyedut udara).

Ia juga membolehkan nispah mampatan tinggi dicapai iaitu 12.5:1 untuk enjin empat silinder dan 11.5:1 pada enjin tiga silinder.

Turut digunakan ialah sistem hidraulik dengan kecepatan dan ketepatan tinggi untuk melaras aci sesondol salur kemasukan (inlet). Turut boleh dilaras ialah aci sesondol bahagian ekzos.

Turbocharger with variable turbine geometry

Kuasa pendesak adalah dari jenis turbo geometri boleh ubah (VTG) dan ianya adalah pertama untuk enjin petrol di dalam segmen massa.

Ini membolehkan tekanan mutlak dihasilkan sehingga 2.3 bar untuk enjin empat silinder (130 PS) dan 2.8 bar bagi enjin tiga silinder.

Hasilnya enjin secara terus dapat meningkatkan tork maksimumnya pada rpm yang sangat rendah.

Untuk enjin 1.0 TSI, pengecas turbo dapat menahan suhu gas ekzos hingga 950 darjah Celsius dan mencapai kelajuan maksimum 289,000 rpm.

 

Volkswagen T-Cross

 

Active Cylinder Management (ACT)

Sistem Pengurusan Silinder Aktif (ACT) pada enjin 1.5 TSI adalah satu lagi teknologi yang dapat mengurangkan penggunaan bahan api.

Sistem ini akan mendeaktif silinder kedua dan ketiga pada beban dan kelajuan sederhana. Ia dilakukan dengan menyahaktifkan pancitan, pencucuhan (ignition) dan gear injap.

Proses pengaktifan semula apabila pedal ditekan dilakukan dengan sangat pantas dan tidak berapa disedari.

Tekanan pancitan 350 bar

Sistem pancitan rel sepunya (common rail injection system) pada enjin TSI evo petrol beroperasi pada tahap maksimum 350 bar dan boleh memberikan sehingga lima pancitan pada setiap kitaran pembakaran. 

Bahan api diatomkan sehingga titisan sangat halus dengan pembentukan campuran yang tepat manakala emisi kasar pada tahap rendah.

Penapis zarahan (particulate filter) pula berfungsi untuk menapis sisa zarah jelaga dari asap ekzos.

Kotak engkol aluminium dengan dinding silinder bersalut (coated)

 

VW Golf Life 1.0 TSI

 

Kotak engkol yang dibuat dari aluminium menjadikan berat enjin TSI evo sangat ringan dan sebagai contoh enjin tiga silinder hanya 88 kg.

Kedua-dua enjin tiga dan empat silinder yang berkuasa 150 PS mempunyai dinding silinder dengan salutan besi setebal 100 mikrometer menggunakan kaedah semburan plasma.

Modul penyejukan kawalan pemetaan (map-controlled) memastikan pengurusan terma yang berkesan untuk kedua-dua enjin.

Satu komponen penting di dalam pakej enjin ini ialah pancarongga ekzos (exhaust manifold) yang disatukan dengan kepala silinder.

Ini menjadikan enjin panas dengan cepat seterusnya perawatan gas dari ekzos dapat dirawat awal.

Penulis: Muhammad Md Tajudin