
Komponen enjin 4.0 liter V8 Bentley terdiri dari acuan blok enjin yang diperbuat dari aluminium kekuatan tinggi dengan pengecas turbo berkembar dan penukar bermangkin (catalytic convertor) pada bahagian V enjin.
Selain itu, penyuntik minyak dan palam pencucuh disepadukan pada setiap kebuk pembakaran bagi memastikan corak semburan optimal.
Lagi ciri lain ialah aci sesondol boleh ubah sehingga 50 darjah dan fungsi nyahaktif empat dari lapan silinder apabila enjin beroperasi pada sebahagian sahaja bebanan.

Berikut ialah ciri-ciri lanjut tentang enjin 4.0 liter V8 yang digunakan pada Bentley Flying Spur baharu:
- Aci engkol dengan lima bebola (bearing).
- Bagi mengurangkan kehilangan kuasa geseran (frictional power loss), aci engkol menggerakkan pam air air dan rantai pemasaan (timing chain) melalui aci penghubung (intermediate shaft ) dan meningkatkan kecekapan.
- Enjin V8 ini mempunyai bentuk yang hampir bersegi dengan menyamai ukuran panjang lejang (stroke) kepada jara silinder (cylinder bore) 86 mm. Faedahnya ialah keseimbangan terbaik di antara kuasa dan tork.
- Pengecas turbo dipasang di dalam bentangan V pada enjin dan mengurangkan jarak pergerakan gas ekzos dari enjin kepada pengecas turbo.
- Pengecas turbo twin-scroll membantu enjin menghasilkan lebih 135 bhp setiap liter (4.0 liter).

- Kuasa puncak ialah 542 bhp dengan tork maksimum 770 Nm pada 2,000 rpm dan sehingga 4,500 rpm.
- Kelajuan maksimum Flying Spur V8 ialah 318 km/j dengan pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa 4.1 saat.
- Penukar bermangkin turut dipasang dekat dengan silinder pada bahagian V enjin. Tujuannya supaya sistem kawalan emisi dapat ditingkatkan kepada suhu operasi optimal dengan cepat.
- Pemanasan penukar bermangkin dicepatkan di dalam fasa penghidupan enjin dengan membuka pintu sisa (wastegate).
- Dua pam tekanan tinggi yang digerakkan secara terus oleh aci sesondol membekalkan lapan penyuntik solenoid dengan minyak pada tekanan sehingga 250 bar.

- Penyuntik itu dipasang pada bahagian tengah kebuk pembakaran dan bertentangan dengan palam pencucuh dan mengeluarkan semburan minyak melalui tujuh muncung (nozzle) kepada setiap silinder bagi mendapatkan corak semburan yang optimum.
- Bagi menahan tekanan tinggi dan penggunaan jara (bore), bahagian jara silinder dilapisi dengan aloi besi (iron alloy) menggunakan proses semburan atmopheric plasma.
- Kaedah itu menghasilkan lapisan yang kuat tetapi hanya berketebalan 150 mikron atau bersamaan ketebalan sehelai kertas.

Selain ciri-ciri di atas, enjin 4.0 liter V8 Flying Spur ini hanya perlu empat dari lapan silinder beroperasi ketika bebanan rendah iaitu di bawah 250 Nm dan kelajuan enjin di bawah 3,500 rpm.
Operasi nyahaktif silinder itu hanya memerlukan sekitar 20 milisaat. Sistem ini diprogramkan untuk menyahaktif silinder nombor dua, ketiga, kelima dan kelapan jika diperlukan.
Hasilnya ialah kecekapan penggunaan minyak sehingga 30 peratus bergantung kepada bebanan enjin dan kelajuan. Turut memberi faedah ialah impak dari segi alam sekitar.
Penulis: Muhammad Md Tajudin