
Menurut GEM adalah penting untuk mengetahui bahawa bateri memang tidak akan tahan selama-lamanya.
Kebiasaan jangka hayat bateri kereta yang digunakan di negara kita ialah berusia setahun hingga tiga tahun bergantung kepada jenis, jenama dan penggunaan.
Berikut ialah tanda-tanda bateri bermasalah:
- Jika enjin gagal dihidupkan tetapi kedengaran sedikit bunyi dari enjin berkemungkinan bateri kereta anda kehabisan kuasa.
- Jika tiada langsung bunyi, berkemungkinan sambungan kepala bateri longgar atau tiada kuasa langsung.
- Satu lagi ialah sistem kunci berpusat (remote central locking) mungkin tidak berfungsi apabila bateri kereta kehabisan kuasa.
Jadi, apa nak buat?
- Pertama sekali ingat kembali bila kali terakhir bateri ditukar. Maklumat ini biasanya ditanda pada pelekat kecil di cermin depan atau bateri itu sendiri.
- Jika anda mempunyai kereta lain, boleh guna kaedah jump start. Namun nasihat kami ialah awas kerana kereta moden sekarang canggih dengan pelbagai perkakasan elektronik. Jika khuatir, minta bantuan pusat panggilan bertauliah pengeluar kereta anda.
- Jika anda sudah biasa melakukannya dan kereta berjaya dihidupkan, tinggalkan enjin kereta dalam keadaan melahu supaya tenaga dapat dicas kembali.
- GEM menyarankan untuk biarkan kedua-dua enjin hidup beberapa minit. Sebelum kabel dialihkan, matikan dahulu kedua-dua enjin.
- GEM turut menyarankan untuk menggunakan satu perkakasan yang dipanggil trickle charger jika mahu meninggalkan kereta untuk satu tempoh.
- Trickle charger berfungsi dengan melepaskan sedikit aliran tenaga bagi menyamai kadar discaj bateri kereta anda.
Berdasarkan pengalaman, kereta yang ditinggalkan lama (tak sampai seminggu pun ada) berkemungkinan menghadapi masalah bateri.
Bagi mengelakkannya dari berlaku hidupkan enjin kereta anda sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh tiga hari. Tapi jangan lama sangat sebab nanti akan cemarkan alam sekitar pula.
Penulis: Muhammad Md Tajudin