Kenaikan harga bahan api dunia: Pakistan umum bantuan tambang percuma, subsidi bersasar

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Pakistan pada Jumaat mengumumkan langkah bantuan, termasuk perkhidmatan pengangkutan awam secara percuma serta subsidi bahan api kepada petani, susulan kenaikan mendadak harga bahan api yang mencetuskan kemarahan rakyat di tengah-tengah konflik Asia Barat.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, dalam satu ucapan nasional mengakui tekanan dihadapi isi rumah, sambil menjelaskan bahawa kerajaan terpaksa menaikkan harga petrol dan diesel berikutan peningkatan kos minyak global.

Sebelum ini, kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak 42.7 peratus kepada 485 rupee seliter dan harga diesel sebanyak 54.9 peratus kepada 520 rupee.

Bagaimanapun, peningkatan harga secara mendadak itu mencetuskan kemarahan orang ramai dan barisan panjang di stesen minyak, sekali gus mendorong kerajaan menarik balik sebahagian kenaikan terbabit.

Harga petrol kemudian diturunkan kepada 378 rupee seliter untuk tempoh sebulan.

Sementara itu, kerajaan wilayah turut mengambil langkah mengurangkan kesan kenaikan berkenaan dengan mengumumkan subsidi bersasar dan bantuan.

Di Punjab, Ketua Menterinya, Maryam Nawaz Sharif, berkata perkhidmatan pengangkutan awam akan diberikan secara percuma kepada penumpang selagi krisis minyak berterusan.

"Saya menggalakkan semua pihak memanfaatkan sepenuhnya kemudahan ini serta memilih pengangkutan awam sebagai cara perjalanan yang lebih mudah, mampu milik dan mampan," katanya dalam satu hantaran melalui platform X.

Beliau turut mengumumkan semua petani gandum di Punjab yang memiliki tanah hingga 25 ekar, akan menerima subsidi diesel sebanyak 10 liter bagi setiap ekar pada kadar 150 rupee seliter, manakala pemilik motosikal pula menerima 20 liter petrol sebulan pada kadar diskaun 100 rupee seliter.

Perkhidmatan pengangkutan awam di ibu negara, Islamabad, juga adalah percuma mulai Sabtu.

Ketua Menteri, Sindh Murad Ali Shah, hari ini turut mengumumkan pakej bantuan bagi wilayahnya untuk menangani kenaikan harga bahan api.

Sindh akan membekukan tambang pengangkutan awam, selain menawarkan bayaran bantuan kepada pengendali bas serta penunggang motosikal.

Bernama/Berita Harian