Ken Block dedah Audi RS e-Tron GT untuk rakaman video terbaharu

oleh Mohamad Hanif|
Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, Ken Block telah pun 'berpisah' daripada Ford dan menjalinkan hubungan baharu bersama Audi bagi kandungan video terbaharu beliau, Electric Fleet.

Siri video yang terbahagi kepada enam bahagian itu bakal menampilkan sebuah Audi RS e-Tron GT yang telah diubahsuai dengan rupa paras yang menyamai watak Stormtrooper daripada filem Star Wars.

Keseluruhan jentera ini dilayangkan dengan warna putih beserta trim hitam, diikuti dengan pemasangan rim yang berbeza rekaannya di depan dan belakang berdasarkan undian pengikut Ken Block di Instagram.

Untuk gandar depan, Audi RS e-Tron GT ini menggunakan rim kustom Rotiform Aerodisc, diikuti dengan rekaan NGO enam jejari di bahagian belakang.
 

Audi RS

 

Untuk pemanduan biasa, keempat-empat rim itu akan dibaluti tayar Toyo Sport, sebelum menukarkannya kepada Toyo Celcius untuk pemanduan di jalan pergunungan.

Tiada sebarang perubahan dibuat kepada Audi RS e-Tron GT ini, di mana ia dilengkapi dengan motor elektrik berkembar yang mampu menghasilkan 590 kuasa kuda dan 830 Nm.

Berdasarkan kapsyen di YouTube, Ken Block menjelaskan Audi RS e-Tron GT ini sangat sesuai untuk kegunaan keluarga di samping cabaran menempuh laluan bersalji di Utah setiap hari.

Ini memberikan petunjuk bahawa video terbaharu beliau bakal memperlihatkan bagaimana Ken Block menggunakan EV berprestasi tinggi ini di dalam dunia sebenar.

 

Berita Berkenaan

Sukan Bermotor
Menerusi kerjasama ini, Ken Block bakal memandu sebuah jentera elektrik khas Audi E-Tron yang…
Berita Global
Ini kerana sebuah lagi jenama premium Jerman, Audi diberitakan bakal hadir dengan sebuah EV…