Kementerian Pengangkutan - Surcaj feri penumpang, RORO berkuat kuasa 20 April

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Kerajaan bersetuju untuk melaksana pengenaan surcaj bahan bakar bunker secara bersasar sebagai langkah mitigasi sementara berkuat kuasa 20 April ini, bagi menampung sebahagian kecil peningkatan kos operasi tanpa menjejaskan akses rakyat kepada perkhidmatan pengangkutan awam maritim.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ketegangan geopolitik di Asia Barat menjejaskan kestabilan pasaran tenaga global dan rantaian logistik antarabangsa, selain menyebabkan peningkatan ketara harga diesel marin global, sekali gus memberi tekanan besar kepada kos operasi sektor pengangkutan maritim domestik.

"Sehubungan itu, MOT mengambil maklum cabaran dihadapi oleh pengendali perkhidmatan feri penumpang dan feri ‘roll-on roll-off’ (RORO) dalam memastikan kelangsungan operasi yang mampan, cekap dan berdaya tahan demi kepentingan rakyat.

"Surcaj ini dilaksana berasaskan pendekatan ‘pass-through cost’ secara terhad, di mana hanya sebahagian kecil kenaikan kos bahan api dipindahkan kepada pengguna. Selebihnya ditanggung melalui subsidi kerajaan, peningkatan kecekapan operasi dan pengurusan kos dalaman oleh pengendali,” kata MOT.

Di bawah struktur tersebut, tiada surcaj dikenakan bagi harga minyak sehingga RM4 seliter (l), manakala kadar lima peratus dikenakan bagi harga RM4.01 hingga RM5/l.

Kadar surcaj akan meningkat kepada lapan peratus bagi RM5.01 hingga RM6/l, 12 peratus (RM6.01-RM7/l), 15 peratus (RM7.01-RM/l) dan maksimum 18 peratus bagi harga melebihi RM8 seliter.

Pengenaan surcaj itu disasarkan kepada pengguna awam dan pelancong, sama ada tempatan atau antarabangsa, manakala penduduk setempat dan pengguna harian adalah dikecualikan.

Menurut MOT, struktur berkenaan mengekalkan prinsip kawalan tambang sedia ada dengan had maksimum surcaj sebanyak 18 peratus, berdasarkan pertimbangan teknikal, sensitiviti pengguna dan keperluan mengawal inflasi.

"Kadar surcaj akan disemak secara bulanan bagi memastikan ia kekal relevan dengan perubahan harga minyak, kedudukan subsidi kerajaan dan impak sebenar kepada pengguna,” kata MOT.

foto hiasan

MOT turut menegaskan pengenaan surcaj itu bukan bertujuan meningkatkan keuntungan pengendali, sebaliknya sebagai langkah sementara untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan feri tanpa gangguan.

Pendekatan itu antara lain turut bertujuan memastikan kebolehcapaian pengangkutan maritim terus terpelihara, komuniti pulau tidak terjejas dan kos sara hidup rakyat terus dilindungi.

"Ia juga mencerminkan nilai ihsan dan keadilan sosial, dengan memastikan golongan yang bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan feri tidak terbeban.

Astro Awani

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut kementerian itu, kejadian tersebut menyebabkan penurunan voltan sekali gus menjejaskan…
Berita Domestik
"Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi telah memaklumkan perkara ini kerana…
Berita Domestik
“Dalam pertemuan Disember lalu, kami telah mencadangkan kepada pihak KDN untuk meminda undang-…