Kementerian Pengangkutan akan kaji, bentang cadangan tentang isu tambang

oleh SALINA JALIL|
Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membentangkan cadangan berhubung isu kenaikan tambang pengangkutan awam susulan pengurangan bilangan penumpang kepada separuh daripada biasa dalam mematuhi peraturan penjarakan sosial.


Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya mendapat rungutan daripada pengusaha pengangkutan awam susulan peraturan itu dan sedar bahawa ia sedikit sebanyak turut menyebabkan kenaikan harga tambang.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Jadi MOT akan lihat perkara ini supaya tidak ada kerugian pada pengusaha-pengusaha pengangkutan awam. MOT akan membentangkan cadangan mereka di Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri nanti," katanya pada sidang media harian semalam.

 

Beliau berkata demikian ketika ditanya aduan sesetengah pihak mengenai tambang pengangkutan yang agak tinggi dengan alasan diberikan pengusaha kerana terpaksa mengurangkan kapasiti penumpang.

 

Mengenai pengusaha bas sekolah yang masih mengenakan bayaran walaupun sekolah masih ditutup, Ismail Sabri berkata ia berbeza dengan isu perkhidmatan pengangkutan awam yang masih beroperasi tetapi dengan separuh kapasiti. 

 

"Yang ini (bas sekolah) langsung tidak beroperasi. Ibu bapa membayar tambang bas kerana menggunakan perkhidmatan untuk mengangkut anak-anak mereka ke sekolah. 

 

"Ini sepatutnya tidak berlaku. Tindakan ini mesti diambil MOT kerana lesen pengusaha bas sekolah dikeluarkan MOT," katanya.

 

Ismail Sabri berkata kerajaan memahami pengusaha bas sekolah tiada hasil pendapatan berikutan sekolah masih ditutup. 

 

"Kita telah buat keputusan mungkin sekarang ini kita benarkan bas-bas kilang, kalau dulu hantar dalam kapasiti penuh sekarang separuh. Mungkin mereka tak cukup (bas) untuk menghantar dalam waktu yang tepat kerana tidak boleh bergerak serentak. 

 

"MOT telah buat keputusan supaya pengusaha bas kilang boleh menggunakan bas sekolah untuk menghantar pekerja kilang. Ini bagi kita membantu usahawan bas sekolah yang tiada pendapatan mungkin boleh mendapat hasil pendapatan daripada bas mereka dijadikan bas kilang sewaktu sekolah masih ditutup," katanya. 

 

Beliau berkata usaha ini dilakukan kerajaan bagi membantu pengusaha bas sekolah dan mereka boleh berbincang dengan syarikat tertentu untuk membantu membawa pekerja kilang sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan sekolah masih tidak dibuka setakat hari ini.

 

 

 

sumber: Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  "Kita faham permintaan mereka supaya kerajaan menetapkan harga lantai untuk e-hailing. "Setakat…