Kementerian Kewangan : LTSAAS tidak dijual, MAHB miliki pajakan sehingga 2067

oleh SALINA JALIL|
Kerajaan tiada perancangan untuk menjual sebarang hartanah lapangan terbang di Malaysia, termasuk Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang kepada mana-mana pihak.


Kementerian Kewangan memaklumkan, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) masih memiliki pajakan selama 60 tahun iaitu sehingga 2067, ke atas tanah di mana terletaknya LTSAAS buat masa ini.


Menurutnya, hartanah lapangan terbang dianggap sebagai aset strategik kerajaan.

 

“LTSAAS merupakan salah satu daripada 39 lapangan terbang di bawah kendalian MAHB selaras dengan perjanjian operasi di antara kerajaan dan MAHB yang dimeterai pada 2009. MAHB bukan pemilik mana-mana hartanah lapangan terbang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kementerian Kewangan berkata, setakat ini, MAHB masih merupakan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan aset sekitar LTSAAS.

 

Jelasnya, sebahagian tanah LTSAAS juga telah dipajakkan (sub leased) oleh MAHB kepada Subang Skypark Sdn. Bhd. bagi tempoh 30 tahun (2007-2037), merangkumi pengendalian Terminal 3, tempat letak kereta dan hangarage.

 

“Sebarang usaha untuk memaksimumkan nilai aset LTSAAS tidak akan melibatkan penjualan hartanah.

 

“Sehubungan itu, Kementerian Kewangan ingin menasihatkan semua pihak agar tidak menyebarkan berita palsu dan khabar angin mengenai perkara ini dan kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak-pihak yang berbuat demikian,” katanya.

 

 

Utusan Malaysia

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Perjanjian MoU antara ketiga-tiga belah pihak itu bertujuan untuk mengkaji kesesuaian pelaksanaan…
Berita Domestik
  Katanya, Berjaya Air dan Smooth Route komited untuk mengambil ruang tambahan yang ditawarkan di…