Pasukan Mellors Elliot Motorsport dengan jentera Proton Iriz R5 yang baharu sahaja lulus ujian homologasi FIA berjaya mencatatkan kemenangan pertama pada acara tersebut!
Kejayaan pasukan MEM ini dikemas kini menerusi laman rasmi Facebook Mellors Elliot Motorsport awal pagi tadi, dan ia juga ditujukan serentak kepada rakyat Malaysia yang turut meraikan Hari Kemerdekaan Negara yang ke-62 semalam.
Kali terakhir pasukan MEM bertanding di Woodpecker Rally adalah pada tahun 2013 dengan jentera Proton Satria S2000.
Menurut Mellors, "pada tahun itu, kami hanya mengalami satu kemalangan dalam kesemua 12 peringkat yang dipertandingkan, dan ia di sini (Woodpecker Stages)!"
"Satria S2000 memang sebuah kereta yang hebat, namun dengan Proton Iriz R5 ini, ia melebihi jangkaan yang kami lontarkan, dan saya tidak sabar untuk bertanding dengan peserta-peserta lain," ujar beliau lagi.
Proton Iriz R5 direka dan dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan Mellors Elliot Motorsport (MEM) dan ia disahkan boleh bertanding di dalam kategori WRC2.
Iriz R5 MEM juga unik kerana menjadi satu-satunya jentera di dalam kelas R5 yang diluluskan dalam kedua-dua format pemanduan kiri dan kanan.
Ideanya, ia mampu untuk dikembangkan potensinya kepada mana-mana negara dengan lebih mudah tanpa mengira format asal pemanduan negara tersebut.