Kematian SmartTag memang tertulis sejak 2018 lagi

oleh HEZERI SAMSURI|
Kecoh bila tiba-tiba ada yang bangkit berkata Touch 'n Go (TNG) dan SmartTag bakal diberhentikan pada 15 Januari tahun hadapan. 

Hairan. Saya baca semula Kenyataan Media yang saya terima - tak ada tertulis pun ia bakal ditamatkan pada tarikh tersebut. Mungkin penulisnya dapat "scoop" (informasi dalaman).

Saya capai telefon, dan hubungi kawan-kawan di dalam industri tersebut. Semua mengeluh kerana "wrong reporting" yang dilakukan oleh beberapa "media" dan menimbulkan isu-isu yang tak diperlukan. 

Fenomena ini sebenarnya berlaku di seluruh dunia di mana tajuk sensasi adalah makanan ruji. Saya mengaku, Careta juga terbabit dalam penciptaan tajuk sensasi tetapi seperti yang dilakukan oleh akhbar-akhbar utama dalam negara, perlu ada sekelumit kebenaran di dalam tajuk itu. Jangan adakan apa yang tak ada, jangan wujudkan apa yang ghaib.

Dalam kes SmartTag dan TNG ini, Kenyataan Media dari Kementerian Kerja Raya (KKR) mengatakan sistem RFID akan diperkenalkan di seluruh plaza tol lebuhraya PLUS bermula 15 Januari. Ini bermakna, anda sudah boleh menggunakan fungsi RFID dan eWallet TNG di lebuhraya milik PLUS sebagai tambahan kepada sistem pembayaran yang ada sekarang, iaitu SmartTag dan TNG.

 


 

 

KKR juga berkata RFID bakal menggantikan SmartTag dan TNG, dan di sini mungkin ada masalah untuk media yang tidak faham isu berkaitan atau yang mempunyai kepentingan peribadi untuk "menembak curi".

Jika kita lihat rentetan peristiwa, syarikat TNG sendiri sudah mengumumkan ia akan berhenti menjual dan memberikan perkhidmatan sokongan kepada peranti SmartTag mulai 2018 kerana ia bercadang untuk menggantikan sistem itu kepada RFID.

Pengumuman itu disambut baik kerana ramai yang benci peranti tersebut, termasuk saya. Harga yang mahal, mudah rosak dan kekangan dari filem penapis haba menjadikannya antara gadget paling tak boleh diharap.

Tetapi seperti biasa, akan ada yang suka menangguk di air keruh - maka wujudlah penjual lain yang menjual alat yang sama, dan mereka terus mempromosikan laluan SmartTag. Ini termasuk syarikat kenderaan yang memasang alat SmartTag pada kenderaan mereka.

Bila ditanya, jawapan mereka mudah - "Ia masih boleh digunakan sehingga laluan SmartTag ditutup dan seperti banyak benda lain di Malaysia, pasti lama lagi dan silap-silap, tak jadi."

Sekarang bila dah jadi, kerajaan yang salah? 

 

 

Semasa penggunaan RFID diumumkan, ramai yang bising kerana mahukan RFID segera digunakan di lebuhraya-lebuhraya utama seperti Lebuhraya Utara Selatan.

Sebenarnya, sistem RFID ialah satu lagi langkah yang membawa kita hampir ke sistem tol tanpa palang, atau Multi Lane Free Flow (MLFF) yang digunakan di Singapura dan juga bakal diperkenalkan di Thailand dan Indonesia.

Ia adalah sistem tol paling modern dan tidak akan menyebabkan kesesakan lalulintas kerana trafik tidak perlu berhenti.

Penggunaan kad Touch ‘n Go sebenarnya masih akan diteruskan kerana fungsi-fungsi lain yang mampu digunakan - membayar parkir, bas dan keretapi contohnya. Saya juga difahamkan bahawa ia tetap akan digunakan di lebuhraya untuk tempoh yang lebih lama lagi dan TNG sendiri tidak pernah berkata ia akan menghentikan pengeluaran, penjualan dan perkhidmatan untuk kad tersebut. 

Saya juga diberitahu bahawa lorong TNG di semua lebuhraya memang akan terus kekal berfungsi. Jika ada laluan yang perlu ditutup untuk kegunaan sistem RFID, laluan SmartTag yang akan dikorbankan dahulu, seraya dengan pengumuman TNG sejak tahun 2018.

"Tidak pernah ada cadangan untuk menutup laluan TNG pun," ujar salah seorang rakan saya di PLUS. 

 

 

Kalau kita ikutkan secara logik, adalah satu tindakan bodoh untuk PLUS tiba-tiba menukar kepada sistem RFID 100 peratus kerana ia akan merumitkan pembayaran, dan mereka perlu pengguna untuk membayar bagi menampung kos penyelenggaraaan yang terbabit.

Sistem pembayaran yang sedia ada dan digunakan oleh PLUS juga adalah bukan milik konsesi itu, tetapi dimiliki oleh TNG Digital, yang sahamnya dimiliki oleh CIMB Group, ANT Group (China), Bow Wave Capital Management (US) dan AIA Group.

TNG Digital mendakwa ia adalah e-Wallet tempatan yang paling popular, dengan 16 juta pengguna berdaftar. Pastinya, mempunyai pelanggan seperti Prasarana dan PLUS serta kesemua pemegang konsesi lebuhraya yang lain memberikan "sedikit" advantage tetapi selagi CIMB juga dimiliki oleh Khazanah Nasional, rakyat akan mendapat habuan mereka juga.

Sekarang ini, selepas Malaysia bakal mengorak langkah ke arah sistem MLFF, pengguna yang sama menyerang isu yang serupa tetapi kerana mahukan sistem tol yang lama untuk terus digunakan.

Sebenarnya, isu ini bukan pada kerajaan kerana projek ini sudah dilaksanakan di bawah tiga kerajaan. Isu sebenarnya ialah ada segelintir pengguna yang mempunyai hobi untuk menentang semua yang wujud di dalam bumi Malaysia ini.

Selepas beberapa pilihanraya dan beberapa kerajaan dilalui, kita semua boleh bersetuju bahawa ada ahli politik memang tak risau untuk menipu dan tol memang akan tetap wujud. 

Yang kita boleh lakukan ialah menyeru kerajaan untuk menghasilkan sistem pungutan tol yang lebih baik, harga yang lebih berdaya saing dan mutu perkhidmatan yang cemerlang. Paling tidak pun, penggunaan sistem perbankan atas talian di mana kita boleh menggunakan e-Wallet lain dan tidak semestinya e-Wallet milik TnG Digital kerana terbukti monopoli, jika tidak dijaga, akan memberikan perkhidmatan pelanggan yang kurang sempurna.

Hentikan sikap untuk "bantah dulu, baru soal" kerana itu adalah satu tabii yang tidak membantu mana-mana pihak langsung. 
 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut Ketua Korporat, Komuniti dan Pembabitan Awam PLUS, Syed Mohammed Idid Syed Ahmad Idid…
Berita Domestik
Contohnya ialah MaxTAG oleh Sigma Technology Sdn Bhd yang sudahpun berada di pasaran melalui…