Menurut sumber-sumber yang rapat dengan perancangan itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sudah bertemu dengan Karamjit dan menyatakan persetujuan kementerian untuk MEMBANTU pelumba rali itu dalam mendapatkan bajet RM3 juta yang diperlukan oleh Karamjit untuk menyertai Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) untuk tahun 2021.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) faham akan kemelut yang dihadapi oleh juara rali berusia 58 tahun tersebut dalam usahanya untuk terus memandu dan akan mencuba untuk membantunya.
Karamjit berkata bajet itu adalah untuk menguruskan penggunaan Proton Iriz R5, termasuk alat ganti dan sebagainya.
“Kos itu mungkin belum mencukupi untuk cabaran penuh APRC dan Karamjit perlu mendapatkan lagi penajaan dari pihak luar,” ujar sumber Careta.
“Mungkin Geely yang kini sedang menerima keuntungan yang menarik dari penjualaan produk Proton sudah boleh memberi bantuan dari segi penajaan juga,” tambahnya.
Seorang lagi sumber yang ditemuramah oleh Careta pula berkata Karamjit masih perlu membentangkan kertas kerja beliau secara rasmi dan KBS akan melihat cara terbaik untuk membantunya.
"KBS kena berlaku adil dan mereka tidak boleh menghambur wang sebesar RM3 juta dengan sewenang-wenangnya. Mungkin KBS akan membantu mencari penaja atau membawa kertas kerja Karamjit ke pihak yang boleh membantu dengan tajaan tersebut," terangnya kepada Careta.
Proton Iriz R5 dihasilkan untuk perlumbaan rali kategori R5 dan ia menggunakan enjin 1.6L turbo dengan sistem 4-roda XTRAC, sistem gantungan Reiger, brek dari Brembo dan sistem elektroniok dari Cosworth.
Enjin 1.6L turbo itu sebenarnya adalah dari enjin 4B11T Mitsubishi Lancer Evolution tetapi diturunkan dari 2.0L kepada 1.6L.
Menurut piawaian R5, kuasa kuda juga perlu dikawal kepada 350 hp dan 450 Nm, maksimum.