Dalam kemaskini terbaharu 1.25, para pemain Gran Turismo 7 di PlayStation boleh mendapatkan empat buah kereta baharu serta dua lokasi penggambaran menarik iaitu Nishiazuma Sky Valley, Fukushima, Jepun dan Whitby di UK.
Kereta yang dimaksudkan itu adalah Nissan GT-R NISMO GT3, Nissan Skyline 2000GT-R, Mazda Roadster NR-A dan kereta klasik Maserati Merak SS.
Bagi mereka yang pernah layan cerita Top Gear sudah pasti perasan dengan kelibat Maserati Merak ini.
Ia muncul pada tahun 1972 yang didatangkan dengan nadi V6, dan untuk para pemain GT7, anda disediakan dengan Merak SS - varian berprestasi yang mampu menghasilkan kuasa 218 hp.

Mazda Roadster NR-A merupakan kereta sport yang dihasilkan khusus untuk kegunaan litar, dengan menampilkan modifikasi seperti brek dan radiator yang lebih besar, peredam boleh laras ketinggian Bilstein serta komponen trenkuasa yang telah ditala.

Terdapat dua buah GT-R yang dibawakan pada kemaskini kali ini, iaitu Nissan GT-R NISMO GT3 2018, serta kereta klasik Nissan Skyline 2000GT-R 1973 (Kenmeri).

Nissan Skyline 2000GT-R pada tahun itu didatangkan dengan enjin enam silinder sebaris S20 2.0 liter yang mampu menjana kuasa 160 PS dan 177 Nm, selain menerima sistem brek cakera pada empat sudut.
Sepanjang tempoh produksi, hanya 197 unit sahaja 2000GT-R yang diproduksikan menjadikannya cukup rare untuk ditemukan atas jalan raya.
Ia juga model Nissan terakhir yang menggunapakai lencana GT-R sebelum model seterusnya (BNR32) muncul pada tahun 1989.