Kemalangan maut: Suami isteri meninggal, dua kanak-kanak diselamatkan selepas 12 jam

oleh SALINA JALIL|
Dua beradik terpaksa menahan sakit kira-kira 12 jam sebelum diselamatkan akibat kemalangan yang turut meragut nyawa ibu dan bapa mereka di Kilometer 20.8 Lebuhraya PLUS (arah Selatan) dekat Kulai pagi semalam.


Kejadian menimpa keluarga malang yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Caldina itu disedari pekerja Propel Plus kira-kira jam 10.40 pagi semalam.

 

Difahamkan, dalam kejadian itu, Herry Mohd Ali, 43, dan isterinya, Khairrunisa Azman, 34, maut di lokasi kejadian manakala manakala dua anak lelakinya berusia enam dan empat tahun cedera selepas tercampak keluar.

 

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pemandu dan penumpang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik Hospital Kulai.

 

Manakala dua anak pasangan itu dibawa ke Hospital Kulai dengan ambulans bomba untuk mendapat rawatan.

 

Katanya, dari maklumat yang diterima, kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 11 malam Sabtu ketika keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Muar balik ke Johor Bahru.

 

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar belakang sebelah kiri MPV itu pecah menyebabkan pemandu hilang kawalan dan terbabas sejauh 100 meter ke kiri bahu jalan sebelum terlanggar pokok," katanya ketika dihubungi hari ini.

 

Beliau berkata, akibat dari pelanggaran itu pemandu dan penumpang hadapan tersepit manakala dua kanak-kanak lelaki tercampak keluar.

 

Katanya, pihaknya percaya kemalangan tidak disedari pengguna kerana kenderaan mangsa tersadai jauh dari lebuh raya.

 

"Mayat berjaya dikeluarkan anggota bomba pada 11.15 pagi.

 

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

 

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Pegawai Bomba Kanan I, Bakhtiar Selamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.53 pagi.

 

Katanya, sembilan anggota bersama dua jentera termasuk sebuah Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian.

 

"Bomba menggunakan peralatan RTA bagi mengeluarkan mangsa tersepit dan operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 12.21 tengah hari," katanya.

 

 

HM

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurutnya, faktor jalan raya hanya menyumbang dalam peratusan kecil selain faktor alam yang…
Berita Domestik
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Rompin DSP Nor Azman Yusof ketika dihubungi malam ini dan…
Berita Domestik
Pemandu tersebut dikatakan terlupa untuk menarik brek tangan kereta yang dipandu sehingga kenderaan…